Tiada sebarang bukti kehadiran harimau di Jalan Tropika Kemensah 3

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

AMPANG - Usaha mengesan jejak harimau didakwa dilihat di Jalan Tropika Kemensah 3, Kemensah Heights masih belum menemui sebarang bukti yang menunjukkan kehadiran hidupan liar berkenaan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menerusi kenyataannya memaklumkan, pemantauan telah dijalankan di kawasan aduan pada jam 11.30 malam pada Jumaat hingga jam 3.00 pagi pada Sabtu.

Bagaimanapun, katanya, tiada kesan atau jejak hidupan liar berkenaan dijumpai di lokasi aduan serta laluan rentas di sekitarnya malah pengawal keselamatan yang didakwa melihat kehadiran haiwan itu juga tidak dapat dikesan.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi berhampiran juga tidak dapat mengesahkan kesahihan kehadiran hidupan liar tersebut," kata Perhilitan Selangor dalam kenyataan itu pada Sabtu.

Dalam kenyataan sama, Perhilitan Selangor menegaskan, sebelum sebarang aduan dibuat, pengadu hendaklah memastikan bahawa aduan tersebut adalah benar dan mempunyai maklumat yang sahih.

"Ini bagi mengelak berita palsu tersebar sehingga berlakunya situasi panik kepada masyarakat setempat," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, Perhilitan Selangor bagaimanapun akan terus memantau sekitar kawasan aduan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

"Orang ramai adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Pada Jumaat, dakwaan dibuat oleh seorang pengguna WhatsApp tular di media sosial mengatakan seorang pengawal keselamatan bertugas di kawasan perumahan itu terserempak seekor harimau berdekatan Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Height.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dalam kenyataannya dilaporkan berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan anggota ke lokasi yang didakwa untuk menyiasat dakwaan tersebut pada hari sama.