X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Pantau penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar

PDRM dan AADK diminta memantau penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan pelajar sekolah. - Gambar hiasan
A
A

TEMERLOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diminta memantau penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan pelajar sekolah dengan menjalankan pemeriksaan secara rawak, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan memandangkan penggunaaan alat itu dilihat menjadi amalan pelajar sekolah kini, malah lebih membimbangkan terdapat kandungan perisa rokok elektronik yang boleh mengkhayalkan.

"Saya dimaklumkan ada dalam kalangan pelajar sekolah yang ketagihan vape dan kita tidak mahu ia jadi satu amalan. Malah, vape ini ada perisa tertentu misalnya 'mushroom’ yang memang bahaya.

"Sekiranya terbukti mereka penagih perisa itu ('mushroom'), kita perlu hantar ke pusat rawatan. Justeru, saya minta AADK dan polis melakukan pemeriksaan rawak melibatkan pelajar sekolah dan remaja,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Program AADK Bersama Masyarakat Sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Pahang 2022 yang turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon.

Tambah Ismail, terdapat pelajar sekolah dan remaja yang merupakan penagih perisa 'mushroom’ telah dihantar ke pusat rawatan untuk pemulihan.

Selain itu, AADK dan Pegawai Perhubungan Sekolah yang terdiri daripada polis diminta mengadakan kerjasama dengan pentadbiran sekolah dalam membendung isu berkenaan, katanya.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya menyeru ibu bapa sentiasa memerhatikan anak mereka, bagi mengelak terjebak dengan masalah dadah.

"Rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah sintetik lebih sukar kerana penggunaan dadah jenis ini boleh menyebabkan penagih menjurus kepada masalah kesihatan mental serta memerlukan program rawatan yang lebih spesifik.

"Sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan serius, jumlah mereka yang mengalami masalah mental akibat penyalahgunaan dadah akan terus meningkat dan menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman negara,” kata Ismail. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!