Perak tiada masalah bekalan ayam

Exco dan Jabatan Veterinar negeri diminta untuk memantau dan melihat perkembangan terkini isu bekalan ayam agar tidak menyusahkan rakyat.
Exco dan Jabatan Veterinar negeri diminta untuk memantau dan melihat perkembangan terkini isu bekalan ayam agar tidak menyusahkan rakyat.
A
A
A

LENGGONG - Masalah kekurangan bekalan ayam yang dihadapi beberapa negeri lain, tidak berlaku di Perak setakat ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, jaminan telah diberikan oleh syarikat pembekal ayam termasuk di daerah Manjung yang menjadi antara pengeluar terbesar di negara ini untuk membekalkan keperluan bahan itu pada kadar yang mencukupi sepertimana sebelum ini.

Menurutnya, pemantauan dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga mendapati, pengeluaran ayam daripada ladang tempatan masih mencapai kadar keperluan ditetapkan.

"Perak kita ada kilang pembekal ayam dinding terbesar (Dindings Poultry Processing Sdn Bhd) di Sitiawan dan mereka telah beri jaminan apa yang berlaku di negeri lain, tidak berlaku di Perak.

Saarani (dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir dalam Jamuan Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong pada Sabtu.
Saarani (dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir dalam Jamuan Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong pada Sabtu.

"Saya percaya syarikat ini pengeluar yang bertanggungjawab dan boleh beri bekalan yang mencukupi kepada rakyat negeri ini," katanya.

"Begitupun saya telah beri tanggungjawab kepada Exco dan Jabatan Veterinar untuk memantau dan melihat perkembangan perkara ini agar tidak menyusahkan rakyat, saban minggu perkara ini dilaporkan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Jamuan Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong di sini pada Sabtu.

Saarani berkata, dengan perkembangan itu, pihaknya yakin isu sabotaj dan boikot bekalan ayam yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran, tidak akan berlaku.

"Masalah pengeluaran ini di bawah pemantauan kerajaan Persekutuan, tetapi disebabkan perusahaan ayam ini ada di Perak jadi kita berhubung terus dengan mereka dan mereka beri jaminan untuk membekalkan ayam seperti biasa kepada rakyat Perak," katanya.