Acara berbasikal sumbang emas ke-37 negara

Muhammad Nur Aiman
Muhammad Nur Aiman
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PASUKAN berbasikal kebangsaan Malaysia menamatkan kemarau pingat emas selama 17 tahun apabila Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff muncul juara acara lebuh raya individu lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 di Wilayah Hoa Binh sejauh 162.25 kilometer pada Sabtu.

Pelumba kelab benua Terengganu Cycling Team (TSG) itu memperagakan kayuhan mantap mengenepikan cabaran rakan sepasukan dari Indonesia kebanggaan Jawa Barat, Aiman Cahyadi sekali gus menyumbangkan pingat emas ke-37 negara.

Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 berusia 25 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 48 minit 22 saat sambil menyaksikan pelumba Thailand, Navuti Liphongyu sekadar menduduki tempat ketiga.

Kedua-dua pelumba Indonesia dan Thailand itu mencatat masa yang sama dengan Aiman.

Kejayaan Aiman menyaksikan mahkota lebuh raya Sukan SEA kembali ke Malaysia selepas kali terakhir memenangi di edisi Filipina 2005 menerusi Suhardi Hassan.

Malaysia kembali merangkul pingat emas di edisi Singapura 2015, namun menerusi acara kriterium yang dihadiahkan Mohd Harrif Salleh.

“Saya gembira dapat menghadiahkan pingat emas kepada kem Malaysia. Ini bermakna saya berjaya menebus kekecewaan acara kriterium. Malaysia sepatutnya menang acara kriterium tapi kita tiada tuah,” katanya pada Sabtu.

Perlumbaan itu juga menyaksikan Akmal Hakim Zakaria mencatat masa 3:51:17 saat untuk berada pada kedudukan keenam manakala tiga lagi pelumba kebangsaan, Nur Amirull Fakhruddin Marzuki ke-31, Muhammad Zawawi Azman (ke-32) dan Muhammad Nur Aiman Rosli di kedudukan ke-33.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab paling gembira dengan kejayaan tersebut.

“Untuk menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki ini, saya kecapi pelbagai kisah suka duka. Paling menyedihkan ialah ketika di Sukan SEA 2013 Myanmar.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada TSG dan Sapura (TSC). Kedua-dua kelab ini memberikan banyak jasa kepada Malaysia. PKBM terhutang budi kepada TSG dan Sapura. Terima kasih,” katanya.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) gembira kerana percaturan memanggil semua ketua jurulatih berbasikal lebuh raya, Datuk Ng Joo Ngan menghasilkan keputusan amat memberangsangkan.

“Ternyata Datuk Joo Ngan boleh menyatu pasukan profesional terkemuka Malaysia ( TSG dan Sapura Cycling Team). Saya harap Datuk Joo Ngan sudi tabur bakti untuk Sukan SEA 2023 di Laos,” katanya.