NUTP disaran tingkat usaha agar kekal kompetitif

Osman melihat klip video memaparkan struktur organisasi NUTP.
Osman melihat klip video memaparkan struktur organisasi NUTP.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) harus mempertingkatkan usaha ke tahap maksimum bagi memastikan ia kekal kompetitif.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, antara perkara penting adalah kewujudan ekosistem inovasi yang perlu dijadikan keutamaan.

Menurutnya, pendekatan baharu wajar dicari bagi mendepani cabaran global dan menangani kelemahan ekosistem inovasi dengan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan.

"Apabila bercakap mengenai inovasi dalam konteks perkhidmatan perguruan, sudah tentulah ia akan berkait rapat dengan warga NUTP.

"Justeru perkhidmatan pendidikan ini memerlukan warga NUTP yang berkaliber, inovatif, kreatif dan juga berintegriti untuk merealisasikan sebuah anjakan paradigma dengan lebih mampan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kajian Pertengahan Penggal NUTP 2019 di sini malam semalam.

Turut hadir, Presiden NUTP, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Kamarozaman Abd Razak.

Osman berkata, pihak pengurusan tertinggi NUTP juga perlu memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran dan budaya kerja yang mendorong kepada penyuburan nilai-nilai inovasi dan kreativiti.

Selain itu, katanya, warga NUTP juga perlu memainkan peranan untuk menerima dan melaksanakan perubahan selaras dengan aspirasi kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan: