Sila log masuk terlebih dahulu.

Isu gesa ADUN pembangkang sertai JTPD tidak wajar ditimbulkan

Hasni (dua dari kiri) hadir majlis rumah terbuka ADUN Pulai Sebatang di Dewan UMNO Pontian.
Hasni (dua dari kiri) hadir majlis rumah terbuka ADUN Pulai Sebatang di Dewan UMNO Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Gesaan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Johor dilantik menjadi ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) disifatkan tidak wajar.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah Johor, ADUN Barisan Nasional (BN) tidak menimbulkan isu tersebut.

Katanya, isu berkenaan telah diperjelaskan ketika beliau menjadi Menteri Besar sebelum ini kepada ketua pembangkang, Aminolhuda Hassan ketika itu.

"ADUN pembangkang dan kerajaan harus ada perbezaan. Tidak wajar ada tuntuan sedemikian kerana perlantikan sebagai ahli JPTD berdasarkan peraturan tertentu.

"Teruskan peranan sebagai pembangkang dalam soal ‘semak dan imbang’. Jangan terlalu fikirkan soal yang telah diputuskan oleh kerajaan pusat berhubung keahilan JPTD adalah dalam kalangan ADUN kerajaan sahaja bukan pembangkang,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Benut berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan di Dewan UMNO di sini pada Jumaat.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 28 November lalu, menolak rundingan mengenai cadangan pembabitan wakil rakyat pembangkang sebagai ahli JTPD.

Bagaimanapun, kerajaan negeri ketika itu bersetuju menjemput ADUN pembangkang menyertai mesyuarat JTPD sebagai pemerhati.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pembangkang, Liew Chin Tong dan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz sebelum ini mengesa kerajaan negeri membenarkan ADUN pembangkang menyertai mesyuarat JPTD.

Mereka menyifatkan pembangkang perlu diberikan peranan yang sama kerana pengundi telah memilih mereka sebagai wakil rakyat untuk menyampaikan segala permasalahan melalui mesyuarat tersebut.