Wanita disaran sertai misi kemanusiaan

Program Borak Bibir Merah yang dihadiri oleh Masdiana (tengah) serta Siti Sakinah (kanan) di Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis yang dihoskan oleh Jeed.
Program Borak Bibir Merah yang dihadiri oleh Masdiana (tengah) serta Siti Sakinah (kanan) di Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis yang dihoskan oleh Jeed.
A
A
A

SHAH ALAM - Peranan wanita bukan sekadar menguruskan kerja-kerja di rumah, malah mereka juga mampu memikul tanggungjawab untuk membantu insan memerlukan dengan menyertai misi-misi kemanusiaan sama ada di dalam mahu pun luar negara.

Pengerusi Pertubuhan Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, agama Islam tidak pernah menafikan hak seorang wanita untuk keluar rumah apatah lagi bagi tujuan menjalankan misi kemanusiaan.

“Kita sebagai wanita masih lagi boleh berperanan di rumah dan di luar rumah dan peranan itu diiktiraf.

“Maksudnya dalam agama tidak menghalang seorang wanita untuk tampil keluar lakukan tugas-tugas ini asalkan kita menjaga kehormatan diri dan syariat Islam,” katanya.

Beliau hadir menjadi tetamu dalam program Borak Bibir Merah di Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis, yang disiarkan di platform digital SinarPlus.

Program berkenaan dikendalikan oleh Jeed Zulkifli sebagai moderator.

Siti Sakinah turut berkongsi pengalamannya berjumpa Sheikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, seorang ulama terkenal dunia dalam salah satu misi kemanusiaan ke Syria yang disertainya.

Siti Sakinah
Siti Sakinah

Menurutnya, ulama berkenaan berpesan dan menggalakkan lebih ramai wanita turun padang tampil menjalankan kerja-kerja berkaitan kemanusiaan.

“Dia (ulama) mahu supaya lebih ramai wanita untuk tampil melakukan kerja-kerja kemanusiaan ini dan menyeru pimpinlah wanita supaya seimbang antara lelaki dan wanita,” ujarnya.

Dalam masa sama, Siti Sakinah mengakui beliau sudah terbiasa dengan kecaman yang diterimanya daripada masyarakat sekeliling sepanjang menceburkan diri dalam kerjaya itu.

Katanya, ALLAH SWT datangkan cabaran atas pelbagai faktor dengan tujuan untuk mematangkan dan meninggikan darjat seseorang.

“Jalan terus, kalau kita nak buat kerja dan dengar cakap orang, kita tidak akan ke mana-mana. Apa yang penting kita tahu perkara yang kita lakukan dan tidak melanggar syariat serta undang-undang,” jelasnya.

Sementara itu, isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad yang turut diundang sebagai tetamu jemputan berkata, sekiranya wanita disediakan satu platform, ruang dan sokongan yang betul, insya-ALLAH kaum hawa ini mampu berkhidmat dalam misi kemanusiaan.

Masdiana
Masdiana

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menasihatkan golongan wanita agar tidak memandang rendah kepada keupayaan diri sendiri.

“Kita nampak wanita lembut dan pendiam, tetapi apabila diberi ruang dan peluang wanita akan merebutnya terutama apabila mendapat sokongan.

“Jika kita diberi platform yang betul, ruang dan sokongan, insya-ALLAH semua kaum wanita boleh lakukannya.

“Saya berpegang kepada apa yang saya buat ini demi kerana ALLAH SWT, bukan untuk orang lain. Orang boleh bercakap apa sahaja tetapi ALLAH SWT tahu,” katanya.