Bapa dakwa sekolah berat sebelah selesai kes buli anak

Kesan anaknya yang dipukul pelajar senior
Kesan anaknya yang dipukul pelajar senior
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bapa mendakwa sebuah sekolah menengah di Sikamat di sini seolah-olah berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap pelajar senior yang membuli anaknya.

Dalam kejadian 13 Mei itu, anak kepada Zainizam Wakimun, 45, yang merupakan pelajar Tingkatan Satu, dipukul dan disepak oleh tiga pelajar Tingkatan Empat dan seorang pelajar Tingkatan Tiga sehingga mengalami lebam pada badan.

"Anak saya alami lebam, sakit di bahagian badan, pinggul, tangan dan bahu selain baru disahkan mengalami retak di pergelangan tangan.

"Dia tak pernah dipukul sebegitu dan kejadian itu sangat memberi kesan kepada dirinya apabila tidur malamnya asyik terganggu kerana masih terbayang kejadian berlaku dan ada kalanya dia termenung," katanya yang telah membuat laporan polis 13 Mei lalu.

Apa yang membuatkan beliau kecewa, apabila kesemua pelajar yang terlibat dalam kes buli anaknya masih dibenarkan ke sekolah seperti biasa selepas dibebaskan dari tahanan reman polis.

Katanya, anaknya pula tidak mahu lagi meneruskan persekolahan di situ kerana bimbang insiden sama berulang lagi.

"Susulan laporan polis yang dibuat oleh saya, pelajar terlibat telah direman sebelum dibebaskan. Selepas pelajar senior itu dibebaskan, guru Hal Ehwal Murid (HEM) ada menghubungi saya memaklumkan ibu bapa pelaku (buli) telah membuat permohonan maaf dan minta saya maafkan mereka.

"Apa yang saya kesalkan kerana pihak sekolah tidak mengambil sebarang tindakan termasuk menggantung persekolahan pelajar terlibat sedangkan mengikut Tatacara Disiplin Sekolah kesalahan memukul pelajar lain boleh digantung sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Jelas Zainizam, keadaan itu seolah-olah menunjukkan pihak sekolah berat sebelah dan menyebelahi pembuli sedangkan anaknya yang menjadi mangsa pula 'terpaksa' mengambil tindakan berpindah sekolah kerana trauma.

"Anak saya baharu sahaja masuk ke sekolah projek sukan itu Mac lalu selepas terpilih bagi mengembangkan minatnya dalam sukan bola sepak.

"Menjadi impiannya untuk jadi pemain bola sepak berjaya suatu hari nanti. Tapi sekarang saya kena cari sekolah lain kerana dia beritahu saya tak mahu lagi sekolah di situ," jelasnya.

Sementara itu katanya, bukan mahu memperbesarkan kes itu tetapi keadilan kepada anaknya sekali gus sebagai pengajaran kepada pembuli lain.

Ujarnya, kemungkinan ada yang berpendapat ia boleh menjejaskan masa depan pelajar yang terlibat tetapi bagaimana pula nasib pelajar yang menjadi mangsa buli.