SPR edar kad pengundi PRK Dun Rantau mulai hari ini

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 20,922 orang pengundi di kawasan Dun Rantau yang meliputi 118 orang pengundi awal dan 20,804 orang pengundi biasa mulai hari ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ia sebagai usaha menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi di PRK Dun Rantau iaitu pada hari mengundi awal pada 9 April dan hari mengundi biasa pada 13 April ini.

"Kad pengundi tersebut mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

"Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

"Bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan, kerana kemungkinan telah berpindah mereka boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.

"Semakan boleh dibuat melalui portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Rantau 13 April depan

Artikel Berkaitan: