'PRK Bugaya perlu diadakan segera'

Ramlee ketika ditemui pemberita di Kampung Dumpil Bay, Putatan.
Ramlee ketika ditemui pemberita di Kampung Dumpil Bay, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban menyarankan supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan segera.

Beliau bimbang kerana sehingga kini PRK Bugaya belum diadakan.

"Saya agak mungkin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum bersedia tetapi saya agak risau juga kenapa begitu lama tidak diadakan PRK.

"Kalau sebelum ini Sarawak sudah mengadakan pilihan raya termasuk negeri-negeri seperti Melaka dan Johor. Jadi disarankan agar dapat diadakan pilihan raya Bugaya," katanya ketika ditemui di Kampung Dumpil Bay, di sini, pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan rakyat di kawasan itu memerlukan wakil rakyat berikutan penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan (Warisan) meninggal dunia pada November 2020.

"Jangan sampai tamat tempoh PRK Bugaya ini tidak dapat diadakan sebab agak risau juga kawasan itu, kawasan saya dulu dan sekarang tidak mempunyai wakil rakyat.

"Jadi tentunya agak rasa kehilangan," ujarnya.

Sementara itu, ditanya jika ingin kembali dalam arena politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau ketika ini lebih selesa untuk memberi laluan kepada muka baharu di negeri ini.

"Sudah tentu beri laluan kepada generasi muda sebab kita pun sudah melalui fasa itu.

"Saya sudah buat keputusan saya memang berehat. Jadi tidak (bertanding PRU)," katanya.