Kanak-kanak dijangkiti HFMD perlu diasing, elak jangkitan

Gambar kecil: Dr Ismail
Gambar kecil: Dr Ismail
A
A
A

JOHOR BAHRU – Gejala Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) ringan dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah boleh menjadi serius sekiranya tidak dipantau.

Pakar Pediatrik dan Neonatologi Hospital Pakar KPJ Puteri, Dr Ismail Haron berkata, perkara itu perlu dilihat dengan serius yang mana kanak-kanak perlu diasingkan sekiranya mempunyai kontak bagi mengelak jangkitan.

“Sekiranya kanak-kanak itu tidak mampu makan dan minum, mengalami demam yang tinggi atau mempunyai tanda-tanda komplikasi yang lain, anak ini perlu dimasukkan ke hospital.

“Namun jika kanak-kanak itu mengalami demam yang suhunya dapat dikawal, mampu untuk makan dan minum bagi menjaga hidrasi badan, kemasukan ke hospital adalah tidak perlu.

“Namun, ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak berjumpa doktor untuk nasihat kesihatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan HFMD di negeri ini dilaporkan meningkat sebanyak 12.8 kali ganda bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sehingga Minggu Epid 19/2022 (yang berakhir 14 Mei), sebanyak 1,237 kes HFMD telah dilaporkan berbanding 97 kes pada tempoh sama pada 2021.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kanak-kanak yang menghidap HFMD juga boleh mengalami gejala jangkitan melibatkan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

Beliau berkata, faktor utama bagi mengekang penularan penyakit HFMD adalah dengan meningkatkan kebersihan diri, kerap basuh tangan, memakai pelitup muka jika batuk atau bersin kerana penyakit HFMD boleh merebak melalui ‘direct contact’, rembesan air liur, hingus.

“Penyakit ini juga boleh dipindahkan melalui perkongsian peralatan seperti alatan makanan, mainan, berkongsi tuala dan selimut.

“Oleh itu, ibu bapa berperanan untuk memastikan kanak-kanak HFMD ini diasingkan dengan kontak lain serta tidak menghantar ke pusat jagaan atau mengunjungi tempat awam,” katanya.

Ismail berkata majoriti kes HFMD bergejala ringan akan sembuh dalam masa tujuh hingga 10 hari.