X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Peniaga terpaksa tutup kedai, bekalan ayam habis

Bekalan ayam di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya masih boleh didapati namun dikhuatiri terputus dalam tempoh beberapa hari lagi.
A
A

SEBERANG JAYA - Kebanyakan peniaga ayam segar di Pulau Pinang mengalami masalah bekalan susulan ketiadaan ayam di ladang menyebabkan mereka terpaksa mencatu jumlah ayam untuk dijual kepada pelanggan.

Lebih teruk, ada peniaga yang terpaksa menutup perniagaan mereka pada Ahad dan Isnin kerana masalah tersebut.

Peniaga di Pasar Bukit Mertajam, Nurhafidzin Jamil Noorzihad, 32 berkata, sebelum ini, dia menerima bekalan dalam lingkungan 1,500 ekor ayam sehari namun sejak Jumaat, dia hanya menerima 500 ekor sahaja.

Menurutnya, disebabkan masalah bekalan itu, dia terpaksa menjualnya dahulu kepada pelanggan tetap terdiri daripada kalangan peniaga kedai makan berbanding pembeli yang datang secara 'walk in'.

"Saya memang tengah pening kepala kerana bekalan ayam segar yang saya terima daripada ladang sangat sikit. Saya terpaksa jual kepada pelanggan tetap dahulu kerana mereka ini terdiri daripada peniaga kedai makan.

"Itu pun saya terpaksa catu, contohnya jika pelanggan memesan beratus ekor, saya jual 30 hingga 50 ekor sahaja kepada mereka. Mujur mereka pun faham keadaan tiada bekalan yang kami hadapi.

"Saya memang utamakan pelanggan tetap dahulu, pelanggan yang datang ke gerai secara 'walk in', ikut nasib. Jika ada, saya juallah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Dia yang mengusahakan perniagaan keluarga bersama adiknya berkata, mereka terpaksa menutup perniagaan pada Ahad selepas dimaklumkan pemilik ladang bahawa bekalan ayam segar tiada.

Mohd Hafizi menunjukkan gerainya yang hanya menjual beberapa bahagian ayam seperti hati dan pedal susulan bekalan ayam tidak mencukupi.
Mohd Hafizi menunjukkan gerainya yang hanya menjual beberapa bahagian ayam seperti hati dan pedal susulan bekalan ayam tidak mencukupi.

"Esok memang kami kena tutup, Isnin belum tentu, tengok keadaan. Jika ladang beritahu tak ada, memang kena tutup jugak lah. Tiada pilihan, tiada ayam, nak berniaga apa. Itu pun, saya ambil bekalan dari lima pembekal, tidak hanya bergantung kepada seorang pembekal sahaja.

"Masalah ini bermula dari Tahun Baharu Cina lagi dan berlarutan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri. Masa sehari sebelum raya, pesan 5,000 ekor, yang sampai 1,200 saja. Selepas raya, saya terpaksa tutup gerai selama sembilan hari kerana tiada bekalan," katanya.

Mengulas mengenai kejadian ayam sakit di ladang, Nurhafidzin berkata, ia dipercayai berpunca daripada bahan membuat dedak yang kurang berkualiti.

"Bahan yang diimport untuk membuat dedak dipercayai tidak berkualiti menyebabkan ayam tidak sihat. Jika keadaan ayam begitu, bagaimana nak jual. Bagaimanapun, jika guna bahan berkualiti, ia akan meningkatkan kos dedak.

"Apabila dedak mahal, maka harga ayam pun akan jadi mahal. Yang susah adalah peniaga kecil seperti kami, terutamanya apabila kerajaan menetapkan harga siling RM8.90 sekilo," katanya.

Katanya lagi, untung bersih yang diperolehi kini hanya sekitar RM200 berbanding RM1,000 sebelum ini.

"Saya ada enam pekerja, nak bayar gaji harian seorang RM70, dengan keuntungan sedikit, memang perit.

"Dakwaan mengatakan ladang sorok ayam, itu tidak benar. Bukan sorok, memang tiada ayam," katanya.

Sementara itu, peniaga di pasar sama, Mohd Hafizi Mat Saad, 41, berkata, dia hanya bergantung kepada bekalan yang dihantar oleh pembekal setiap hari kerana ketika ini, pembekal tidak boleh menghantar jumlah ayam seperti yang diminta.

Menurutnya, dia mengutamakan pelanggan tetap dahulu sebelum menjualnya kepada pelanggan yang datang secara 'walk in'.

"Saya jual apa yang ada, terpaksa buat begitu. Banyak mana pembekal bagi, banyak itu juga saya jual.

Walau apa pun berlaku, saya tetap utamakan pelanggan tetap dahulu kerana mereka ini berniaga.

"Tetapi saya tidak sampai tahap kena tutup kedai kerana tiada bekalan ayam. Apa yang diberitahu pembekal kepada saya tadi (Sabtu), bekalan untuk esok dan Isnin masih ada tetapi sangat kurang," katanya.

Dalam pada itu, peniaga ayam di sekitar kawasan Seberang Perai mengakui tertekan berikutan kekurangan bekalan ayam yang berlaku sejak sebulan lalu.

Beberapa peniaga yang ditemui turut melahirkan kebimbangan mereka bahan mentah berkenaan akan terputus dalam tempoh beberapa hari lagi disebabkan masalah di pihak pembekal dan ladang

Peniaga ayam di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya, Muhd Hafizal Halim berkata, masalah berlaku sejak awal Ramadan lalu apabila pembekal mencatu pesanan peniaga dengan memberi pelbagai alasan.

Nurhafidzin sedang mencuci gerainya apabila bekalan ayam habis dijual dalam beberapa jam sahaja.
Nurhafidzin sedang mencuci gerainya apabila bekalan ayam habis dijual dalam beberapa jam sahaja.

"Memang bekalan ayam pada waktu ini terhad dan saya tidak menolak kemungkinan yang Pulau Pinang bakal berdepan dengan masalah bekalan ayam seperti yang berlaku di Selangor hari ini.

"Bila ditanya kepada pembekal mereka memberi alasan yang terdapat masalah di ladang, ayam belum cukup tempoh dan sesuai untuk dijual serta bermacam-macam lagi alasan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Seorang lagi peniaga ayam segar di Permatang Langsat, Jamilah Hanafi berkata, kebiasaanya dia akan menempah 200 hingga 300 ekor ayam daripada pembekal namun hanya menerima separuh sahaja daripada tempahannya.

Jelasnya, disebabkan situasi itu pendapatannya sedikit terjejas memandangkan mendapat bekalan ayam kurang dan terpaksa menutup kedai awal.

"Bila bekalan kurang kita pun tak dapat nak jual banyak sedangkan permintaan ayam tinggi.

"Tak tahu lah sampai bila isu ini boleh selesai, saya berharap masalah dalam kalangan pembekal, penternak dengan pihak kerajaan dapat di atasi segera," katanya.

Sementara itu, pelanggan seorang pelanggan yang ingin dikenali sebagai Mohd Kassim berkata, dia perlu keluar ke pasar pada awal pagi bagi mendapatkan bekalan ayam.

Katanya, sekiranya terlewat sudah pasti bekalan ayam di pasar akan habis dan dia terpaksa untuk mencari di beberapa kedai di sekitar Kepala Batas untuk mendapatkan bahan mentah berkenaan.

"Memang kena pi awal pagi, kalau mai pasar pukul 10 ke atas memang tak dapat la nak beli ayam," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!