X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Mercedes vintaj dilelong pada harga AS$142 juta

Pengerusi Mercedes-Benz, Ola Kllenius (kiri) dan ahli lembaga pengurusan Kumpulan Mercedes-Benz, Renata Jungo Bruengger, bergambar bersama Uhlenhaut Coupe 1955. - Foto Mercedes-Benz
A
A

ANKARA - Sebuah kereta Mercedes-Benz vintaj yang juga model jarang ditemui dijual pada harga €135 juta (AS$142 juta) dalam satu lelongan, sekaligus mencatat rekod sebagai kereta termahal di dunia, lapor Agensi Anadolu.

Mercedes-Benz 300 SLR 'Uhlenhaut Coupe' 1955 telah dijual kepada pengumpul persendirian dan merupakan satu daripada dua prototaip yang pernah dikeluarkan bahagian perlumbaan Mercedes-Benz, menurut kenyataan RM Sotheby’s, syarikat lelongan antarabangsa kereta klasik yang berpangkalan di Kanada.

Kereta itu dijual di Jerman pada 5 Mei.

Diberi nama sempena pencipta dan ketua jurutera Rudolf Uhlenhaut, kenderaan itu sering dilihat sebagai "kereta paling cantik di dunia," "antara satu permata hebat dalam sejarah permotoran" dan "satu contoh terbaik kejuruteraan dan reka bentuk automotif" oleh pakar dan peminat automotif di seluruh dunia.

Kenderaan itu berasaskan kereta W 196 R Grand Prix yang berjaya memenangi dua kejuaraan dunia menerusi Juan Manuel Fangio, pemandu kereta lumba legenda Argentina yang mendominasi perlumbaan Formula 1 serta memenangi Kejohanan Pemandu Dunia sebanyak lima kali pada tahun 1950-an.

300 SLR telah dipertingkatkan enjinnya kepada 3.0 liter untuk perlumbaan kereta sport, dengan kelajuan 180 batu sejam (289.7 kilometer sejam), menjadikannya antara kereta terpantas di jalan raya pada zamannya.

Harga itu menjadikannya kereta paling berharga pernah dijual menerusi lelongan, memecah rekod Ferrari 250 GTO 1962 dijual dengan harga AS$48.4 juta pada 2018 menerusi lelongan RM Sotheby. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!