X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Empat seleweng diesel bersubsidi dihadap ke mahkamah

Pasukan serbuan menemui dua buah lori yang sedang memindahkan minyak diesel bersubsidi ke dalam sebuah tangki di ladang kelapa sawit
A
A

SHAH ALAM - Tindakan empat lelaki termasuk dua warga asing menyeleweng 8,355 liter diesel bersubsidi membawa padah apabila kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, tertuduh yang berusia 25 hingga 40 tahun itu ditahan susulan serbuan di sebuah premis di Jenjarom, Kuala Langat pada 17 Mei lalu.

Menurutnya, pasukan serbuan menemukan dua buah lori yang menjalankan kegiatan pemunggahan minyak diesel ke dalam sebuah tangki di kawasan ladang kelapa sawit.

"Dua lelaki warga Bangladesh dipercayai pekerja atau penjaga premis dan dua lelaki warga tempatan yang memandu lori itu turut ditahan untuk siasatan.

"Jumlah minyak diesel yang disita adalah sebanyak 8,355 liter selain beberapa peralatan dan dokumen. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM198,330," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes tersebut dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang bagi pertuduhan ke atas kesemua tertuduh.

Tertuduh diiring penguat kuasa KPDNHEP Selangor utk didakwa di mahkamah.
Tertuduh diiring penguat kuasa KPDNHEP Selangor utk didakwa di mahkamah.

"Dua lelaki tempatan tidak mengaku bersalah dan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

"Manakala, dua warga asing ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri," katanya.

Azman memberitahu, pertuduhan dibuat di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang bersubsidi minyak diesel tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan

"KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna,"ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!