Isa Samad akui masih sayangkan UMNO

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

PORT DICKSON - Bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengakui masih sayangkan UMNO meskipun telah keluar daripada parti itu pada tahun 2018.

Bekas Ahli Parlimen Jempol itu membuat keputusan keluar parti selepas mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Menurut Mohd Isa, adalah sukar untuknya tidak menyayangi UMNO kerana parti itu sudah sebati dengan hidupnya sekian lama.

"UMNO sebuah parti yang lama dan sayang saya pada UMNO itu tak pernah dipersoalkan.

Memang saya ini keturunan UMNO... daripada emak, ayah, arwah isteri dan isteri saya sekarang pun semuanya UMNO.

"Macam mana saya nak lari daripada UMNO," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu masih belum kembali sebagai ahli UMNO namun sentiasa menyokong parti itu termasuk membantu kempen pada beberapa PRK diadakan sebelum ini.

Ditanya bila akan kembali sebagai ahli UMNO secara rasmi, Mohd Isa memberitahu masih belum sampai seru.

"Saya tak jadi ahli pun saya sokong UMNO.

"Saya ikut berkempen untuk UMNO pada PRK Melaka dan Johor baru-baru ini," katanya.

Ditanya pandangan sama ada kerusi Port Dickson perlu kekal menjadi kerusi milik MIC atau diberi kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, Mohd Isa berkata, setiap parti komponen BN perlu memastikan setiap ahlinya memberi sokongan sepenuhnya kepada apa sahaja parti yang bertanding.

Mohd Isa (tengah) beramah mesra dengan pengamal media yang hadir pada majlis Jamuan Aidilfitri Ketua UMNO Bahagian Port Dickson.
Mohd Isa (tengah) beramah mesra dengan pengamal media yang hadir pada majlis Jamuan Aidilfitri Ketua UMNO Bahagian Port Dickson.

Katanya, perkara itu lebih penting berbanding memikirkan kerusi itu sepatutnya diberi kepada siapa.

"Kalau kita kata parti ini bertanding, nanti esok tak dapat (bertanding) akan jadi masalah dalam kalangan ahli parti.

"Kita tidak mahu apabila menghadapi PRU nanti kita berpecah kerana BN ada peluang cerah untuk menang di Port Dickson," katanya.

Tambah beliau, sesiapa sahaja akan dipilih sebagai calon perlu diterima oleh semua manakala yang tidak terpilih diharapkan tidak menimbulkan masalah.

"BN juga jangan tunjukkan banyak masalah sehingga rakyat tak mahu undi terutama pengundi tidak berparti.

"Ini yang pemimpin parti semua peringkat kena ingat," katanya.