Cacar monyet kini dikesan di lapan negara Eropah: WHO

Antara simptom dialami pesakit yang dijangkiti virus cacar monyet. - Foto Agensi
Antara simptom dialami pesakit yang dijangkiti virus cacar monyet. - Foto Agensi
A
A
A

GENEVA - Sekurang-kurangnya lapan negara iaitu Australia, Canada, Amerika Syarikat, Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom telah melaporkan beberapa kes jangkitan cacar monyet setakat ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jangkitan virus berkenaan jarang berlaku tetapi boleh berjangkit melalui kontak rapat antara orang perseorangan, lapor Xinhua.

"Kes baru-baru ini adalah tidak tipikal atas beberapa sebab.

"Dalam keadaan ini, semua kes kecuali satu mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan Afrika Barat atau Afrika Tengah," kata pengarah wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge

Kluge juga berkata, kebanyakan kes baru-baru ini dikesan dalam kalangan mereka yang menawarkan perkhidmatan seks dan lelaki mengamalkan hubungan seks sejenis.

"Oleh kerana sifat virus itu merebak secara geografi di seluruh Eropah, penularan mungkin berterusan untuk tempoh tertentu," katanya.

Kluge berkata, WHO sedang bekerjasama dengan negara-negara terbabit untuk menyiasat kes itu dengan lebih lanjut, mencari kemungkinan sumber jangkitan, cara virus merebak dan mengehadkan penularan selanjutnya.

"Kami turut menyediakan panduan dan sokongan mengenai pengawasan, ujian, pencegahan dan kawalan jangkitan, pengurusan klinikal, komunikasi risiko dan penglibatan komuniti, serta memudahkan perkongsian maklumat merentasi negara serta rangkaian kesihatan," kata Kluge.

Beliau berkata, kebanyakan kes yang sedang disiasat di Eropah hanya menunjukkan simptom ringan. - Bernama