Klopp mahu pemain fokus berdepan Wolves

Klopp - Foto Football Espana
Klopp - Foto Football Espana
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mahu skuad kendaliannya itu memberikan fokus berdepan Wolverhampton Wanderers di Anfield pada Ahad bagi memastikan kemenangan pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurut Klopp, biarpun agak sukar untuk menyekat Manchester City yang berkemungkinan besar mencatatkan kemenangan ke atas Aston Villa bagi mengekalkan trofi EPL musim ini, namun kesebelasan The Reds diingatkan untuk memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan kemenangan berkenaan.

“Di atas kertas, mungkin ramai yang berkata, Liverpool perlu menang sambil mengharapkan City (Manchester City) tewas kepada Aston Villa..tidak, kami tidak mahu menjadi seperti orang lain yang sering ‘berharap’ atau ‘bergantung’ kepada pihak lain.

“Perkara seperti itu (berharap), nyata sesuatu yang tidak seharusnya berlaku kerana apa yang penting adalah yakin ke atas kemampuan sendiri.

“Oleh itu, apa yang saya mahukan adalah pemain memberikan fokus kepada aksi berdepan Wolves dengan beraksi dengan sehabis baik bagi mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir musim ini,” katanya.

Untuk rekod, Liverpool bakal melayan kunjungan Wolves pada Ahad manakala City menunggu kunjungan Aston Villa di Etihad yang disifatkan bakal menjadi detik penentu bagi mengesahkan juara EPL 2021/2022.

Mengulas mengenai persiapan The Reds, Klopp berkata, semua persiapan berjalan lancar dan beberapa pemain utama seperti Mohamed Salah dan Virgil van Dijk dilihat sudah kembali cergas untuk beraksi.

Katanya, situasi berkenaan membolehkannya mula membuat percaturan bagi menurunkan kesebelasan terbaik untuk berdepan Wolves.

“Kita gembira dengan berita pemain-pemain utama kita sudah boleh beraksi kerana ia memudahkan lagi percaturan kita.

“Memang kita pernah menewaskan Wolves 1-0 Disember lalu, tetapi rekod lalu tidak boleh dijadikan ukuran kerana perlawanan kali ini pastinya berbeza,” katanya.