Tiada lanjutan PICKids percuma

KKM tidak berhasrat untuk melanjutkan lagi tempoh vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah PICKids yang akan berakhir pada hujung bulan Mei ini. Foto hiasan
KKM tidak berhasrat untuk melanjutkan lagi tempoh vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah PICKids yang akan berakhir pada hujung bulan Mei ini. Foto hiasan
A
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat untuk melanjutkan lagi tempoh vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang akan berakhir pada hujung bulan Mei ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tempoh masa yang diberikan untuk ibu bapa membawa anak masing-masing mendapatkan vaksin secara percuma itu sudah mencukupi.

Dr Noor Azmi (tengah) hadir merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al Baqir,di sini pada Sabtu.
Dr Noor Azmi (tengah) hadir merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al Baqir,di sini pada Sabtu.

Menurutnya, selepas tempoh tersebut, ibu bapa boleh mendapatkan suntikan vaksin tersebut di klinik-klinik swasta dengan bayaran yang tertentu.

"Tempoh yang sepatutnya berakhir pada 15 Mei dilanjutkan hingga 31 Mei ini bagi memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksinasi secara percuma.

"Vaksinasi kanak-kanak semakin meningkat hari demi hari dan ia menunjukkan ibu bapa mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kesihatan anak mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui hadir merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al Baqir,di sini pada Sabtu.

Dr Noor Azmi berkata, jumlah tersebut meningkat selepas perayaan Aidilfitri sejak 17 Mei lalu.

Menurutnya, Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi kanak-kanak yang mengambil vaksin sebanyak 87.4 peratus diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan KKM akan mengkaji sebarang dapatan baru rawatan Covid-19 secara menyeluruh sebelum dilaksanakan di negara ini.

Menurut Dr Noor Azmi, antaranya vaksin NawsonVacc yang dibangunkan oleh seorang doktor dari India, Dr Alfred John Prem Raj yang dikatakan mampu menghilangkan simpton Covid-19 dengan satu sesi semburan.

"Kita ada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Farmasi dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang akan mengkaji sebarang teknik atau kaedah rawatan berkaitan Covid-19.

"Jadi, sebarang keputusan sama ada untuk membawa masuk atau membuat vaksin itu akan melalui kajian yang rapi," katanya.

Beliau berkata, selain program vaksinasi, kerajaan juga telah membeli ubat antivirus Paxlovid yang berkesan mengurangkan kes pesakit dimasukkan ke hospital sebanyak 80 peratus.