Peniaga, penternak ayam bimbang tak dapat berniaga

Ayam yang dijual oleh Siti Fatimah habis awal kerana kekurangan bekalan.
Ayam yang dijual oleh Siti Fatimah habis awal kerana kekurangan bekalan.
A
A
A

KOTA BHARU - Penternak dan peniaga ayam di negeri ini bimbang kekurangan bekalan ayam di pasaran akan menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perniagaan.

Seorang peniaga, Siti Fatimah Mustafa, 30, berkata, kekurangan bekalan ayam menyebabkan dia terpaksa menutup operasi perniagaannya di Badang di sini selama dua hari pada minggu lalu.

Katanya, bekalan ayam yang dihantar ke premis perniagaannya mula menyusut sejak Ramadan lalu.

“Biasanya antara 450 sehingga 500 ekor ayam dibekalkan sehari dan akan meningkat sehingga 2,000 ekor pada Aidilfitri.

“Kali ini, saya dibekalkan 250 ekor ayam sahaja sehari manakala pada Aidilfitri lalu hanya 1,000 ekor dijual,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Peniaga memotong ayam untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Badang, Kota Bharu.
Peniaga memotong ayam untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Badang, Kota Bharu.

Ujarnya, selama 24 tahun dia dan keluarga menceburkan diri dalam perniagaan ayam, ini kali pertama berlaku kekurangan ayam dalam pasaran sehingga menyebabkan terpaksa menutup operasi perniagaan pada dua hari tersebut.

“Ayam tak ada, perniagaan jadi perlahan sedangkan ada lima pekerja yang perlu dibayar gaji.

“Kami baru sahaja menjual ayam dengan harga RM9.50 sekilogram berbanding RM9 sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penternak ayam, Mohamad Halimi Che Ali, 35, mendakwa berdepan kehabisan stok ayam dewasa sejak lima bulan lalu dan terpaksa mengambil bekalan daripada penternak lain untuk terus membekalkannya kepada peniaga.

“Kadangkala kami pun putus angin nak menternak ayam kerana harga dedak mahal dan meningkat secara mendadak tahun ini.

Sekarang ada lebih 100 ekor anak ayam berusia sebulan hingga dua bulan yang memerlukan dedak.

Anak ayam yang masih kecil dan perlu diberikan dedak oleh penternak ayam.
Anak ayam yang masih kecil dan perlu diberikan dedak oleh penternak ayam.

Kalau sebelum ini, peningkatan harga dedak sekitar RM1, tetapi kali ini setiap kali meningkat antara RM5 sehingga RM10.

"Harga seguni dedak ayam seberat 50 kilogram (kg) kini RM145 berbanding tahun lalu sekitar RM110,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Hidayati Mohd Amran, 48, berkata, turut buntu untuk meneruskan perniagaan dengan keadaan harga ayam yang meningkat berikutan kekurangan bekalan haiwan ternakan tersebut.

“Saya berharap kerajaan prihatin dengan nasib peniaga mahupun rakyat secara keseluruhannya kerana berdepan dengan keadaan kekurangan bekalan ditambah dengan harga meningkat.

“Bukan sahaja ayam dan barangan makanan mentah lain malahan plastik yang digunakan untuk membungkus nasi pun turut sama naik harga,” katanya.