Undian Pemilihan PKR Cabang Shah Alam bermula

Selepas mendaftar, pengundi diminta mencelup jari mereka dalam dakwat khas sebelum mula mengundi calon mereka.
Selepas mendaftar, pengundi diminta mencelup jari mereka dalam dakwat khas sebelum mula mengundi calon mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam bermula dengan lancar pada jam 9 pagi di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Sabtu.

Pemilihan tersebut melibatkan pertandingan tiga penjuru untuk jawatan Ketua Cabang PKR Shah Alam antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail; Bekas ADUN Kota Anggerik, Dr Yaacop Sapari dan Wan Amierrul Ikhwan Mohd Naser.

Sinar Harian difahamkan seramai 12,728 pengundi bakal membuang undi mereka untuk memilih calon mereka bagi pemilihan cabang tersebut pada Sabtu.

Menurut salah seorang petugas, jumlah tersebut meliputi seramai 10,464 orang hadir secara fizikal untuk mengundi di dewan, manakala selebihnya mengundi secara dalam talian.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pengundi mula hadir di pekarangan dewan seawal jam 8 pagi walaupun sesi undian bermula pada jam 9 pagi.

Para pengundi mula hadir ke DRMM untuk mengundi calon Ketua PKR Cabang Shah Alam pada jam 9 pagi.
Para pengundi mula hadir ke DRMM untuk mengundi calon Ketua PKR Cabang Shah Alam pada jam 9 pagi.

Mereka turut dilihat memakai topi kuning dan biru yang digunakan untuk memudahkan proses kiraan jumlah penyokong calon yang bertanding.

Sementara itu, Rodziah tiba di pekarangan Dewan Raja Muda Musa sekitar jam 8.56 pagi.

Beliau yang juga bertanding untuk jawatan Ketua Wanita PKR turut meninjau keadaan persiapan akhir sebelum sesi undian bermula pada jam 9 pagi.