Liga Premier: TFC II lepasi ranjau JDT II

Antara aksi menarik perlawanan TFC ll- JDT ll pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. FOTO: JOHOR SOUTHERN TIGERS
Antara aksi menarik perlawanan TFC ll- JDT ll pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. FOTO: JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

TERENGGANU FC ll (TFC ll) mengutip tiga mata selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim ll (JDT ll) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Babak pertama menyaksikan The Turtles terlebih dahulu beroleh peluang menerusi percubaan awang import, Jordan Mintah, pada minit ke-15, namun rembatan dari dalam petak penalti ditepis penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Harimau Selatan bagaimanapun mengejutkan TFC II apabila pemain tengah Bienvenido Marion meledak gol pertama pada minit ke-43 untuk mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, TFC ll yang ketinggalan mengatur serangan balas dan berhasil menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-62 menerusi Zuasyraf Zulkieflie.

Pada minit ke-84, TFC II sekali lagi menggegar gawang lawan menerusi pemain gantian Wan Mohd Fazli Wan Ghazali yang merembat masuk bola hasil hantaran leret Muhammad Muslihuddin Atiq Mad Zaid sekali gus menyaksikan TFC II mendahului JDT ll 2-1.

Sementara itu di Shah Alam, Kelantan United berkongsi satu mata dengan Kuching City selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 tanpa jaringan hingga akhir perlawanan di Stadium UiTM.- Bernama