Masjid Al-Barakah Mukim Takang bakal beri manfaat

Masjid Al-Barakah, Mukim Takang, Bachok memerlukan dana RM1.5 juta bagi kerja-kerja naik taraf yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam mempelajari ilmu agama.
Masjid Al-Barakah, Mukim Takang, Bachok memerlukan dana RM1.5 juta bagi kerja-kerja naik taraf yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam mempelajari ilmu agama.
A
A
A

BACHOK - Kerja-kerja naik taraf Masjid Al-Barakah, Mukim Takang di sini bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam mempelajari ilmu agama sekali gus memperkasakan lagi peranan institusi itu di kawasan berkenaan.

Imam satu, Mohd Rosdi Abdul Samad berkata, antara penambahbaikan yang akan dilakukan ialah dengan membina dewan serbaguna dan rumah tamu.

“Selain itu kami akan membesarkan bangunan solat utama dengan membina bangunan dua tingkat.

“Sebelum ini hanya sekitar 400 orang sahaja jemaah dapat ditempatkan dalam satu masa, namun apabila siap nanti dijangka mampu menempatkan lebih 700 dalam satu masa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebuah perpustakaan serta bilik mesyuarat akan turut dibina bagi memberi kemudahan kepada penduduk di sini.

Beliau berkata, untuk menyiapkan semua itu dana berjumlah RM1.5 juta diperlukan dan pihaknya mengharapkan sumbangan daripada orang ramai.

"Dana yang terkumpul sekarang sekitar RM200,000. Sehubungan itu, kami mengajak seluruh masyarakat untuk membantu menjayakan misi ini dengan menghulurkan sumbangan.

"Sumbangan ini boleh disalurkan menerusi akaun Maybank (553131023313) atas nama Tabung Pembangunan dan Imarah atau Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (03018010057308) Kumpulan Wang Masjid Al-Barakah Kampung Takang,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi di talian 019-9388996 atau 013-9275569.