Inspirasi di sebalik cabaran guru

Faizal merakam gambar bersama murid-muridnya di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman, Sarawak, ketika melakukan aktiviti di dalam kelas.
Faizal merakam gambar bersama murid-muridnya di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman, Sarawak, ketika melakukan aktiviti di dalam kelas.
A
A
A

JIKA masih ada yang beranggapan kerjaya guru mudah dan selesa, kenyataan itu harus dinilai kembali kerana hakikatnya pelbagai cabaran perlu dilalui bagi mereka yang bergelar pendidik.

Setiap guru, sama ada yang bertugas di luar bandar mahupun di bandar terpaksa berdepan dengan cabaran tersendiri.

Namun, sukar dan mencabar setinggi mana sekali pun, ia tidak pernah melunturkan semangat mereka untuk terus berbakti menyampaikan dan memberi ilmu kepada anak bangsa.

Melihat semangat juang yang ditunjukkan warga pendidik di kawasan luar bandar menggambarkan secara tepat betapa suci dan murninya jiwa mereka menyumbang ilmu kepada generasi demi generasi.

Meskipun mereka berdepan pelbagai cabaran tersendiri, namun ia tetap diatasi dengan tenang demi tanggungjawab mereka untuk mendidik anak bangsa yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Kekal bersemangat

Menyentuh mengenai cabaran bagi guru yang mengajar di luar bandar terutama kawasan pedalaman, tiga isu utama yang sering membelenggu mereka ialah dari segi kemudahan, menangani isu kehadiran pelajar terutamanya anak-anak daripada keluarga bermasalah dan kekangan alat bantu mengajar.

Menurut guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku Lingga, Sri Aman, Sarawak, Ahmad Faizal Osman, ketiga-tiga cabaran itu ibarat ‘makanan’ bagi guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman sepertinya.

Namun, segala cabaran itu dilaluinya dengan tenang bagi memastikan anak-anak murid yang tinggal jauh di pedalaman tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

AHMAD FAIZAL
AHMAD FAIZAL

“Memandangkan Sarawak merupakan negeri yang terbesar dan terluas di Malaysia sudah tentu terdapat sekolah yang terletak jauh di pedalaman seperti di daerah Lubok Antu, Kapit dan Belaga.

“Cabaran utama ialah jarak perjalanan ke sekolah. Guru-guru yang mengajar di sekolah pedalaman akan mengambil masa yang lama dan menaiki bot menyusuri sungai untuk sampai ke sekolah.

“Selain itu kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air agak terhad di pedalaman dan diganti dengan penggunaan generator serta takungan air bukit atau air hujan.

“Liputan internet sudah pasti sangat terhad. Namun daya usaha kerajaan negeri membantu memperbaiki kemudahan diharap dapat menyuntik semangat guru-guru di pedalaman,” ujarnya.

Justeru, katanya, meskipun banyak cabaran perlu dilalui tetapi guru tetap menjadikan ia sebagai pendorong untuk terus mendidik anak bangsa.

Tambah guru yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu, pengalaman lebih 27 tahun bertugas di Sarawak membuatkan dirinya sebati dengan segala cabaran yang perlu dilalui.

Pengalaman sama turut dikongsi seorang lagi guru di SK Long Jegan, Sarawak, Muhammad Alif Khairuddin yang baru memulakan tugas awal tahun ini.

MUHAMMAD ALIF
MUHAMMAD ALIF

Bagi guru yang berasal dari Terengganu itu, masalah kehadiran murid ke sekolah merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh guru-guru di pedalaman.

“Kami faham masalah ini disebabkan kesukaran ibu bapa memantau anak-anak semasa ketiadaan mereka di rumah.

“Jarak rumah dengan tempat mereka bekerja yang jauh hingga lima jam menyukarkan pemantauan. Keadaan akan bertambah sukar jika anak-anak ini dijaga oleh ibu tunggal yang perlu berusaha keras untuk menyara hidup anak-anak,” katanya.

Selain itu, katanya, penggunaan teknologi dalam pengajaran juga terhad bagi guru dan murid di sekolah pedalaman disebabkan kesukaran untuk memperoleh peranti teknologi dan liputan.

Menurut guru Pemulihan Khas itu, situasi ini menyebabkan murid sukar untuk mengakses internet bagi meningkatkan pencarian ilmu pengetahuan dan terpaksa bergantung secara langsung daripada guru.

“Murid-murid sangat bergantung dengan guru di dalam bilik darjah dan sukar untuk mereka belajar secara sendiri.

“Tetapi, sebagai pendidik kami sentiasa berusaha untuk memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang sewajarnya, walau sesukar mana pun cabaran yang dilalui,” katanya.

Kerjasama ibu bapa

Meskipun Sabah dan Sarawak lebih sinonim dengan masalah kawasan pedalaman, namun isu cabaran turut dirasai guru luar bandar di Semenanjung.

Bagi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib pula, tugas yang digalas pendidik di kawasan luar bandar sememangnya mempunyai cabaran tersendiri.

Bagaimanapun, katanya, semua cabaran itu disifatkan sebagai pembakar semangat untuk lebih berusaha memberikan yang terbaik buat anak-anak didik.

NORHAILMI
NORHAILMI

“Saya mengajar di luar bandar dan kebanyakan murid-murid di sini hampir 95 peratus datang daripada keluarga B40 atau keluarga susah.

“Dalam hal berkaitan pembelajaran, kebanyakan ibu bapa golongan ini bergantung sepenuhnya kepada guru-guru untuk memberikan ilmu pendidikan.

“Jadi, guru-guru perlu banyak memainkan peranan untuk menyediakan alat bantuan mengajar. Alhamdulillah ini tidak menjadi masalah kerana setakat ini alat bantu mengajar di sekolah saya mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji penglibatan ibu bapa luar bandar dalam aktiviti sekolah yang sangat memberangsangkan.

Norhailmi turut berharap agar semua pihak sentiasa memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kualiti pendidikan negara terus unggul.

Pelajar sekolah bandar uji keupayaan guru-guru

Cabaran besar turut menjadi dilema bagi guru-guru di bandar terutama dalam mendepani pelajar lebih agresif dan terkedepan dalam hal penggunaan gajet serta sikap ibu bapa yang perlu ditangani sewajarnya.

Malah, kos sara hidup tinggi turut menjadi sebahagian daripada masalah yang perlu dihadapi guru di bandar, namun semua itu membuatkan jiwa mereka lebih kental.

Guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Menengah Islam Al- Amin Kemaman, Azman Dosan berkata, tidak dinafikan pelajar di bandar lebih agresif dan terkedepan dari segenap segi.

Namun, beliau tidak menolak semua ini menguji keupayaan guru sepertinya untuk menangani masalah dengan bijak.

“Anak-anak di bandar terutama pelajar di peringkat sekolah menengah lebih terkedepan kerana keadaan persekitaran dan akses internet yang lebih meluas.

“Jadi anasir-anasir tidak baik dan trend baharu mudah mempengaruhi pemikiran mereka sebagai remaja, sekali gus membolehkan mereka terjebak,” katanya kepada Sinar Harian.

Azman, 48, menjelaskan, pengaruh gajet yang meluas mutakhir ini dalam kalangan pelajar ketika bermula sesi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut menjadi cabaran getir buat guru.

“Pengaruh gajet memang antara cabaran besar dalam kalangan anak-anak remaja kini tetapi selepas konsep PdPR dilaksanakan ekoran pandemik Covid-19, cabarannya saya kira lebih kritikal.

“Walaupun zahirnya ketika PdPR mereka ini berada di dalam kelas tetapi menggunakan gajet memudahkan mereka, ibarat berada di segenap ceruk dunia kerana semua benda ada di hujung jari mereka,” ujarnya.

Azman yang juga penerima Anugerah Tokoh Guru Cemerlang Pendidikan Swasta Negeri Terengganu 2021 menegaskan, beliau dan pihak sekolah menekankan aspek pembangunan sahsiah pelajar bagi membantu pelajar agar tidak terjebak jauh.

Beliau yakin pembangunan sahsiah mampu menjadi perisai kepada pelajar menghadapi situasi sekarang.

“Sahsiah perlu diterapkan agar mereka memahami kerangka pembinaan semula Tamadun Islam dalam diri mereka.

“Kami turut meminta ibu bapa memantau perkembangan anak-anak serta mengawal penggunaan gajet kerana didikan dan pemantauan di rumah sangat penting,” tambahnya.

Bentuk peribadi murid

Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dari Sekolah Kebangsaan Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, Idayu Suraya Salleh turut mengakui murid di bandar lebih terdedah dengan media sosial hingga menuntut kerja keras guru untuk mengikut rentak semasa murid.

“Cabaran juga untuk kami berdepan ibu bapa yang hanya fokus pada keputusan akademik. Hakikatnya guru di bandar perlu berusaha membentuk peribadi murid.

“Murid zaman sekarang kurang dari segi nilai dan adab terhadap guru. Mereka banyak habiskan masa dengan media sosial dan tidak bergaul serta bersosial,” ujarnya.

Bagi menangani masalah berkenaan, Idayu Suraya yang memiliki pengalaman mengajar selama lapan tahun sedaya upaya mewujudkan suasana kondusif ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Perlu ada televisyen pintar semasa mengajar untuk menarik minat mereka kerana teknologi itu dekat dengan mereka.

“Untuk membentuk peribadi, saya banyak berkomunikasi dengan murid sambil memberi nasihat. Mereka dipupuk nilai-nilai agama seperti soal adab dan cara berkomunikasi. Hendak membina adab bukan ambil masa sehari dua tetapi bertahun.

“Mungkin di rumah murid kurang dapat layanan kerana kesibukan ibu bapa di bandar bekerja dan kekangan masa,” jelasnya.

Sementara itu, Idayu Suraya, 37, yang berasal dari Kuala Lumpur menambah, beliau perlu ambil tahu perkembangan remaja masa kini supaya ketika mengajar nasihat dapat diselitkan agar mereka tahu baik dan buruk sesuatu trend.

Dalam pada itu, Guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni dari Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis Sentul, Kuala Lumpur, Shahrul Hisyam Abdullah berkata, guru di bandar kebanyakannya terpaksa mengendalikan lebih banyak program dan aktiviti yang menuntut komitmen mereka untuk menarik minat murid menyertainya.

“Jika dibandingkan dengan sekolah di luar bandar, program atau aktiviti di sekolah bandar lebih banyak. Kami perlu lebih proaktif untuk libatkan murid-murid untuk tingkatkan kemahiran mereka.

“Selain itu, cikgu di bandar turut berdepan dengan ibu bapa yang lebih cakna dengan akademik dan penglibatan anak-anak mereka serta sebarang kes yang berlaku di sekolah. Kami perlu lebih berhati-hati kerana zaman ini apa sahaja cepat menjadi tular,” katanya.

Ujar Shahrul Hisyam, 31, guru di kawasan bandar turut berdepan kos sara hidup yang tinggi berbanding guru di luar bandar.

“Bagi saya yang masih bujang, mungkin kurang rasa kesannya tetapi ia berbeza bagi yang berkeluarga. Kami guru di bandar kena bijak berbelanja untuk elak dijerat masalah kewangan,” jelasnya lagi.

Kesimpulannya, masalah bukan alasan untuk guru-guru di bandar mahupun luar banda meneruskan semangat dan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak generasi masa depan.

Jiwa yang kental dan pengorbanan tulus mereka itu sejajar dengan tema Sambutan Hari Guru 2022 bagi kali ke-51 iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera'.

Tugas mulia dan martabat seorang guru yang mereka galas dari zaman berzaman sentiasa perlu dimartabatkan terutama di era pandemik dan cabaran semasa kini yang sering menguji.