X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Brazil dilanda cuaca sejuk melampau

Brazil merekodkan suhu terendah dalam sejarah pada Khamis iaitu kira-kira sebulan sebelum tibanya musim sejuk. Golongan gelandangan tidur di kawasan kaki lima ketika cuaca sejuk melanda Sao Paolo.
A
A

RIO DE JANEIRO - Kot dan selendang tebal menjadi pakaian pilihan di Brazil ketika negara Amerika Selatan itu merekodkan paras suhu terendah dalam sejarah pada Khamis.

Cuaca sejuk luar biasa itu memberi tekanan kepada golongan gelandangan selain menjejaskan tanaman.

Bandar Brasilia misalnya merekodkan suhu paling rendah iaitu 1.4 darjah Celsius - sebulan sebelum bermulanya musim sejuk.

Maklumat di laman sesawang Institut Meteorologi Kebangsaan (INMET) pula menunjukkan seluruh bahagian selatan dalam peta Brazil berwarna jingga sebagai indikasi kawasan terbabit mengalami gelombang sejuk berbahaya.

INMET turut memberi amaran bahawa kemungkinan keadaan cuaca sejuk ekstrem menjejaskan tanaman di seluruh negara.

Brazil adalah antara pengeluar industri makanan terbesar di dunia.

Di Sao Paulo - bandar terbesar di Amerika Latin mencatatkan suhu 6.6 darjah Celsius iaitu paras paling rendah direkodkan sejak 1990.

Selendang dan baju tebal menjadi pilihan penduduk di kawasan yang merekodkan paras suhu terendah di Brazil.
Selendang dan baju tebal menjadi pilihan penduduk di kawasan yang merekodkan paras suhu terendah di Brazil.

Sementara itu, negeri selatan Santa Catarina merekodkan suhu di bawah dua darjah Celsius selama beberapa hari.

Namun, cuaca sejuk yang menjejaskan aktiviti harian penduduk tempatan memberi keterujaan kepada pelancong.

Menurut Estael Sias dari Agensi Meteorologi MetSul, gelombang sejuk luar biasa itu berlaku akibat daripada Taufan Yakecan yang menjejaskan selatan Brazil dan Uruguay.

“Pada abad ini, suhu setiap tahun mencatat rekod dan terdapat lebih banyak haba di atmosfera yang diubah menjadi tenaga untuk cuaca ekstrem seperti hujan, ribut, banjir dan juga kemarau, cuaca sejuk serta panas,” ujar Sias.

Pada Rabu lalu, seorang lelaki gelandangan berusia 66 tahun meninggal dunia di Sao Paolo selepas rebah ketika beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.

Insiden itu berlaku ketika Dewan Bandaraya Sao Paulo mengumumkan tambahan 2,000 katil di pusat perlindungan, menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti kepada 17,000.

Bagaimanapun angka tersebut masih kecil kerana ibu kota ekonomi Brazil itu mempunyai hampir 32,000 gelandangan, hampir satu pertiga tambahan berbanding tiga tahun lalu iaitu sebelum bermulanya pandemik Covid-19. - AFP


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!