Polis siasat kenyataan ahli Parlimen DAP berbaur hasutan

Tangkap layar ciapan awal yang dikesan tular di media sosial.
Tangkap layar ciapan awal yang dikesan tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kenyataan yang dibuat oleh salah seorang ahli Parlimen DAP menerusi satu ciapan di Twitter pada Khamis yang didakwa berbaur hasutan dan mengapi-apikan orang ramai.

Imej tangkap layar yang memaparkan kenyataan dalam bahasa Inggeris 'Adakah mungkin rumah Perdana Menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?' turut tular di media sosial lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya turut mengesan tangkap layar yang memaparkan ciapan terbabit tular menerusi aplikasi WhatsApp.

"Siasatan berkenaan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam satu kenyataan lewat malam Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian di laman Twitter ahli Parlimen tersebut mendapati ciapan tersebut merupakan kapsyen dipetik daripada kenyataan media beliau yang dimuat naik menerusi laman blog miliknya.

Kenyataan media tersebut menyentuh berkenaan krisis ekonomi yang melanda Sri Lanka sambil membuat perbandingan di antara Malaysia berhubung potensi pembangunan ekonomi yang gagal dicapai kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Abd Jalil memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa berhemah semasa menggunakan platform media sosial.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," ujarnya.