Pan Gon 'terpikat' potensi Shahrul Nizam

Shahrul Nizam Ros Hasni
Shahrul Nizam Ros Hasni
A
A
A

KEPUTUSAN memanggil pemain Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni menyertai kem latihan pusat menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan adalah sebagai usaha memilih barisan terbaik skuad Harimau Malaya.

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, pemain pertahanan berusia 24 tahun itu berpeluang untuk menilai potensinya dalam melengkapkan senarai 30 pemain yang dipanggil ke kem latihan pada Jumaat.

Selain Shahrul Nizam, beliau turut memanggil pemain Petaling Jaya FC, V Ruventhiran, 21, bagi menggantikan pemain Negeri Sembilan FC, Khair Jefri Jones yang terpaksa digugurkan selepas disahkan mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi bersama kelabnya pada saingan Liga Super minggu lepas.

"Kami memanggil Ruventhiran dan Shahrul Nizam kerana mereka pemain muda dan amat berpotensi. Berdasarkan pelan taktikal, kita mahu lihat sama ada mereka sesuai atau tidak,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM pada Jumaat.

Ditanya sama ada beliau akan memanggil pemain bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan untuk menyertai kem latihan, Pan Gon berkata skuad B-23 negara akan memberi tumpuan kepada kejohanan di Uzbekistan selepas ini.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan skuad B-23 negara meskipun gagal melangkah ke final Sukan SEA ke-31 selepas tewan tipis kepada Vietnam, semalam.

"Kami menyokong skuad B-23 untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan berikutnya tapi saya sangat gembira melihat potensi pemain muda negara dan akan menunggu masa sesuai apabila mereka diserapkan ke skuad senior kebangsaan,” katanya.

Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun.

Kedua-dua perlawanan persahabatan itu adalah sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi saingan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil bulan depan. - Bernama