X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Proses tuntutan Covid-19 dilaksana Perkeso ikut akta, fasa endemik

Perkeso
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyangkal dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa tindakan menukar tuntutan pekerja Orang Berinsurans (OB) bagi kes Covid-19 daripada Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) kepada Penyakit Khidmat sebagai langkah ke belakang.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Izad Raya sebaliknya menegaskan, tindakan memproses tuntutan faedah berkaitan kes Covid-19 sebagai Penyakit Khidmat adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dan tertakluk sepenuhnya di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Katanya, pendekatan mengklasifikasikan kes itu bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia tetapi turut diamalkan oleh negara-negara lain.

"Sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan Perkeso sebelum ini bertarikh 1 April 2022, virus Covid-19 merupakan antara penyakit yang tersenarai dalam Jadual Kelima, Akta 4 dan boleh dipertimbangkan sebagai Penyakit Khidmat oleh Jemaah Doktor Perkeso.

"Bagaimanapun, atas dasar keprihatinan untuk membantu rakyat Malaysia khususnya golongan pekerja dalam mendepani impak mencabar sewaktu pandemik Covid-19, Perkeso telah mengambil tindakan proaktif dengan memproses kes tuntutan melibatkan Covid-19 sebagai ‘Bencana Kerja’," katanya dalam kenyataan, pada Jumat.

Tambahnya, semasa fasa pandemik, langkah-langkah pengesanan kes telah dijalankan secara aktif bagi mengenal pasti punca jangkitan termasuklah jangkitan yang berlaku disebabkan oleh pekerjaan yang dilaksanakan. Ini dapat dilihat menerusi laporan-laporan berkenaan kluster tempat kerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, sehubungan itu Perkeso mempertimbangkan jangkitan yang dikenal pasti berlaku di tempat kerja dan bukan di tempat–tempat lain, sebagai bencana kerja dan ini merupakan satu respons keselamatan sosial kepada pandemik yang pertama kali berlaku dalam tempoh satu abad.

"Walau bagaimanapun, negara kini telah memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022 yang mana menurut KKM, merupakan keadaan di mana sesuatu penyakit sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat.

"Seperti mana penyakit–penyakit berjangkit lain yang diletakkan di bawah kategori Penyakit Khidmat seperti jangkitan virus Nipah, Tuberkulosis (batuk kering) dan Leptospirosis (penyakit kencing tikus), jangkitan Covid-19 yang disebabkan oleh pekerjaan juga diklasifikasikan sebagai Penyakit Khidmat berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan," katanya.

Katanya, justeru Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diharap merujuk kepada laporan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung pengklasifikasian Covid-19 sebagai Penyakit Khidmat oleh negara–negara anggota ILO di seluruh dunia, di mana ia adalah selaras dengan langkah yang diambil oleh Perkeso," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan MTUC menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam pengendalian Perkeso.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharun Mansor berkata, campur tangan itu perlu bagi mengelakkan sebarang ketirisan dana berlaku.

Beliau pada masa sama menyifatkan tindakan Perkeso menukar tuntutan pekerja OB bagi tuntutan kes Covid-19 daripada faedah Hilang Upaya Sementara kepada faedah Penyakit Khidmat merupakan langkah ke belakang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!