Skuad karate tamatkan kemarau 29 tahun emas kumite

Skuad Karate Negara, bergambar bersama selepas beraksi dalam acara Kumite Berpasukan Lelaki menentang pasukan Indonesia sempena temasya Sukan SEA 2021 di Pusat Pertandingan Sukan Ninh Binh pada Jumaat. - Foto Bernama
Skuad Karate Negara, bergambar bersama selepas beraksi dalam acara Kumite Berpasukan Lelaki menentang pasukan Indonesia sempena temasya Sukan SEA 2021 di Pusat Pertandingan Sukan Ninh Binh pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BUKAN sahaja menghadiahkan pingat emas ke-36 kontinjen negara, malah skuad karate kebangsaan turut menamatkan kemarau 29 tahun kilauan emas dalam acara kumite berpasukan lelaki Sukan SEA pada Jumaat.

Kejayaan itu hadir di Pusat Pertandingan Sukan Wilayah Ninh Binh di sini, selepas pasukan kumite lelaki negara dibarisi S Prem Kumar, Sureeya Sankar dan R Sharmendran menewaskan Indonesia 3-0 pada final pada Jumaat.

Selain Prem Kumar, Sureeya dan Sharmendran, skuad karate kebangsaan dianggotai Hari Sankar, S Geerijaieswaran Pillai, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik, V Kueggan dan G Kathish.

Mata pertama disumbangkan Prem Kumar selepas menundukkan lawan dengan keputusan 8-3 sebelum momentum kemenangan diteruskan rakan sepasukan Sharmendran (3-1) dan Sureeya Sankar menoktahkan kejayaan membanggakan itu dengan mengatasi lawan 6-1.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan terlebih dahulu menempuh saat mendebarkan ketika berdepan Vietnam di separuh akhir apabila pada awalnya kemenangan mereka dinafikan sebelum bantahan rasmi yang dilakukan membuahkan hasil untuk keputusan berpihak Malaysia.

"Kita sangat gembira dapat pingat emas selepas 29 tahun, kami betul-betul menunggu saat ini. Kami melakukannya...ini bukan emas saya, ini emas kami, (emas) Malaysia, (emas) Karate Malaysia dan (emas) MAKAF (Persekutuan Karate Malaysia),” kata Prem Kumar kepada pemberita di sini.

Pada ketika ini protes kesilapan teknikal kami ketepikan dan akhirnya sebelum kami memasuki gelanggang kami sudah menang di luar gelanggang kerana perasaan membara yang kami memang memerlukannya selepas bertahun-tahun kami masuk final, akhirnya kami berjaya,” kata beliau.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas acara kumite berpasukan lelaki adalah pada edisi 1993 di Singapura.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-31,Datuk Nur Azmi Ahmad berterima kasih kepada skuad karate kebangsaan yang memastikan sasaran 36 emas tercapai.

"Ini adalah satu penutup di mana sukan saya sendiri sebagai Setiausaha Agung (MAKAF) dan selaku CDM, telah membantu saya menamatkan bilangan (sasaran) yang ditetapkan oleh Menteri Belia dan Sukan dan juga rakyat Malaysia kepada saya.

Beliau berharap kejayaan hari ini akan membakar semangat baki atlet yang akan meneruskan cabaran di temasya sukan dwitahunan itu untuk menambah pungutan pingat negara. - Bernama