Dugaan ayah meninggal dunia hari akhir peperiksaan

Penerima Hadiah Pingat Emas Canselor, Na Yong Sik (kiri) bersama penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia, Syazwan Izman Shairunizam (kanan) ketika ditemui pada sidang media khas sempena istiadat Konvokesyen ke-59 USM di USM pada Jumaat. - Foto Bernama
Penerima Hadiah Pingat Emas Canselor, Na Yong Sik (kiri) bersama penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia, Syazwan Izman Shairunizam (kanan) ketika ditemui pada sidang media khas sempena istiadat Konvokesyen ke-59 USM di USM pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Walaupun diuji dengan kematian ayah ketika menduduki kertas peperiksaan akhir di Universiti Sains Malaysia (USM), tidak menghalang Na Yong Sik untuk terus fokus sehingga muncul sebagai penerima hadiah pingat emas Canselor sempena upacara Konvokesyen ke-59, USM yang bermula esok.

Yong Sik, 24, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia berkata, walaupun sedang bersedih dengan kematian ayahnya Na Chung Sheng, 49, akibat Covid-19, namun beliau tetap fokus dan melakukan yang terbaik ketika menduduki peperiksaan subjek Advance Process Safety secara dalam talian, pada jam 3 petang, 21 Julai tahun lepas.

"Saya dihubungi abang memaklumkan mengenai kematian ayah akibat Covid-19 pada 5 pagi (21 Julai). Saya terus bersiap untuk pulang ke Klang, Selangor dengan memandu kereta dari sini (Pulau Pinang)...ketika itu hanya fikir untuk sampai ke rumah untuk bersama keluarga.

"Sebaik tiba (rumah) saya memutuskan untuk tetap menduduki peperiksaan akhir itu pada hari yang sama (kematian ayah) kerana saya dapat merasakan ia juga adalah kehendak ayah yang mahu anak-anaknya berjaya walaupun dia sudah tiada di sisi kami,'' katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar sempena Upacara Konvokesyen ke-59 USM di sini pada Jumaat.

Turut hadir Naib Canselor USM, Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia, bagi pelajar terbaik kategori bumiputera, Syazwan Izman Shairunizam, 24.

Yong Sik yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik berkata, beliau berjaya memperoleh A dalam subjek Advance Process Safety itu walaupun menduduki peperiksaan tersebut ketika menerima berita yang paling sedih di dalam hidupnya.

Beliau yang kini seorang jurutera di sebuah syarikat antarabangsa di Singapura berkata, ayahnya pasti berbangga dan gembira dengan kejayaan beliau itu kerana sepanjang belajar di USM, mendiang ayah dan ibunya, Tan Lih Cin, 48, sentiasa memberikan motivasi dan menjadi pemangkin kejayaannya hari ini.

"Ibu dan ayah tidak pernah memaksa kami untuk belajar dengan cemerlang sebaliknya apa yang mereka mahukan ialah anak-anak mereka gembira dengan apa yang dilakukan,'' katanya.

Sementara itu, Syazwan Izman yang kini bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang di Pulau Pinang berkata, beliau tidak tertekan sepanjang belajar kerana aktif menjalankan aktiviti berpersatuan ketika di USM dan ia sebenarnya dapat membentuk pelajar lebih berkeyakinan ketika memasuki alam pekerjaan.

''Proses pembelajaran dan berpersatuan perlu seimbang kerana ia dapat menjadikan pelajar lebih berdaya saing dan kreatif dalam masa yang sama, saya berharap para pelajar yang masih berada di universiti dapat memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya,'' katanya.

Sementara itu, Faisal Rafiq berkata, upacara konvokesyen di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) akan berlangsung selama 10 hari bermula esok, membabitkan 11 sidang.

"Seramai 6,706 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Kehormat (dua), Profesor Emeritus (lima), Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana (2,231), Ijazah Sarjana Muda (4,475) dan Diploma Kejururawatan (50)," katanya.

Majlis konvoksyen USM kali ini akan dijalankan secara normal dengan kehadiran ibu bapa atau penjaga ke dalam dewan berbanding majlis Konvokesyen ke-58 pada Disember 2021, yang hanya graduan dibenarkan hadir susulan negara masih dilanda pandemik Covid-19. - Bernama