Pembukaan 9 pusat pemeriksaan Thai- Malaysia dorong pemulihan ekonomi

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel. Foto Bernama
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel. Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Pembukaan sepenuhnya sembilan pusat pemeriksaan Thai-Malaysia darat dan laut sejak awal bulan ini akan membantu merangsang pemulihan ekonomi kedua-dua negara selepas pandemik Covid-19.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, pembukaan semula pusat pemeriksaan penting itu selepas lebih dua tahun akan merangsang sektor pelancongan dan seterusnya meningkatkan perdagangan sempadan antara Thailand dan Malaysia.

"Kami menjangkakan bilangan pelancong (ke Thailand dan Malaysia melalui darat dan laut) meningkat secara beransur-ansur. Setahu saya, Malaysia telah memudahkan semua syarat kemasukan, kecuali keperluan untuk mengisi borang pra-berlepas di MySejahtera,” katanya.

Menurut beliau dengan beberapa sekatan yang masih dikuatkuasa di Thailand, seperti Pas Thailand dan insurans, ramai pengembara mungkin masih memilih untuk "tunggu dan lihat" sehingga terdapat lebih banyak pelonggaran sekatan atau syarat kemasukan.

"Bagaimanapun, pas sempadan kini boleh digunakan. Saya percaya itu akan menggalakkan pemulihan ekonomi kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Beliau menambah Malaysia merupakan rakan perdagangan sempadan terbesar Thailand.

Pada masa ini, kesemua sembilan pusat pemeriksaan sempadan, termasuk dua pusat pemeriksaan feri dibuka semula iaitu Padang Besar (Perlis) -Songkhla, Wang Kelian (Perlis)-Wang Prachan (Satun), Bukit Kayu Hitam (Kedah)-Sadao (Songkhla), Durian Burung (Kedah)-Ban Prakop (Songkhla), Rantau Panjang (Kelantan)-Sungai Kolok (Narathiwat), Bukit Bunga (Kelantan) Ban- Bukheta (Narathiwat), Bukit Berapit-Betong (Perak-Yala), Pengkalan Kubor (Kelantan)- Tak Bai (Narathiwat), Jeti Kuah- Jeti Tammalung (Satun).

Pada Mac 2020, kerajaan Thai menutup kesemua sembilan pusat pemeriksaan Thai-Malaysia darat dan laut berikutan pandemik global untuk mengekang penularan Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, semua warganegara Thailand dan warga asing dilarang masuk atau keluar dari negara itu melalui darat atau laut.

Warganegara Thailand dan Malaysia hanya dibenarkan pulang ke negara masing-masing melalui udara.

Ketika itu, satu pos pemeriksaan darat atau laut di setiap wilayah yang ditetapkan bersempadan dengan Malaysia akan dibuka untuk mengangkut barangan merentasi sempadan Thailand.

Pada 2021, jumlah perdagangan sempadan Thailand dan Malaysia berjumlah 627.7 bilion baht, dengan eksport Thailand ke Malaysia tahun lepas meningkat 42.62 peratus kepada 346.6 bilion baht manakala importnya dari Malaysia meningkat 18.44 peratus kepada 281.1 bilion baht.

Sementara itu, Jojie menasihatkan rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand mematuhi syarat kemasukan terkini, termasuk keperluan untuk memohon Pas Thailand, dan mempunyai insurans yang meliputi perbelanjaan rawatan Covid-19.

"Rancang perjalanan anda dengan baik dan sediakan semua dokumen yang diperlukan terlebih dahulu; simpan salinan cetak bersama anda, ia mungkin perlu.

"Saya juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk terus mematuhi langkah-langkah kesihatan awam sedia ada. Thailand masih belum mengisytiharkan Covid-19 sebagai endemik. Justeru, saya berharap rakyat Malaysia dapat menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, dan mengelakkan tempat sesak, jika boleh,” katanya. - Bernama