Mohon kebenaran merayu keluarkan LTTE daripada senarai pengganas

Istana Kehakiman di Putrajaya.
Istana Kehakiman di Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemandu teksi, V Balamurugan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mengeluarkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) daripada senarai kumpulan pengganas.

Dalam permohonannya yang difailkan pada 13 Mei, Balamurugan mengemukakan lima persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Dalam notis usul, Balamurugan berkata persoalan undang-undang berkenaan skop dan had kuasa Menteri Dalam Negeri dalam mengisytiharkan entiti di bawah Seksyen 66B(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam Omar Kutty Abdul Aziz, yang mewakili Balamurugan, semasa dihubungi mengesahkan telah memfailkan permohonan itu.

Pengurusan kes ditetapkan pada 17 Jun.

Pada 17 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan LTTE sebagai pengganas di negara ini namun gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang menolaknya pada 14 April lepas.

Balamurugan memohon suatu pengisytiharan dan/atau deklarasi bahawa butiran mengenai LTTE dalam perintah tersebut tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah ultra vires atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Dia menamakan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Balamurugan memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan serta-merta butiran mengenai LTTE di dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 November 2014.

Balamurugan merupakan antara 12 individu yang didakwa pada akhir 2019 atas dakwaan menyokong LTTE.

Bagaimanapun, pada Februari 2020, Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas menggugurkan pertuduhan terhadap mereka. - Bernama