Perak pulih 713.82 hektar tanah terbiar

Seluas 713.82 hektar tanah terbiar di negeri Perak telah dibangunkan bagi tujuan pertanian membabitkan pembiayaan hampir RM8.5 juta. Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil) Razman
Seluas 713.82 hektar tanah terbiar di negeri Perak telah dibangunkan bagi tujuan pertanian membabitkan pembiayaan hampir RM8.5 juta. Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil) Razman
A
A
A

IPOH - Seluas 713.82 hektar tanah terbiar di negeri Perak telah dibangunkan bagi tujuan pertanian membabitkan pembiayaan hampir RM8.5 juta.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, projek di bawah Jabatan Pertanian itu dimulakan sejak 2008 menerusi pembiayaan peruntukan pembangunan persekutuan.

Menurutnya, komoditi yang terlibat dalam projek pembangunan tanah terbiar ini kebanyakannya adalah tanaman singkat masa seperti jagung, tebu, pisang, sayuran dan komoditi utama negara iaitu padi.

Manakala bagi tanaman jangka panjang seperti kelapa dan durian menjadi tanaman yang telah diluluskan.

"Projek ini telah memberi manfaat kepada 404 pengusaha seluruh negeri sejak dilaksanakan dengan siling pembiayaan RM20,000 bagi setiap hektar membabitkan keluasan minimum 10 hektar.

"Pada tahun lalu sahaja, peruntukan pembangunan negeri sebanyak RM189,600 dibelanjakan membabitkan keluasan 11.32 hektar tanah dapat dibangunkan dengan tanaman durian dan sayuran," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dalam usaha pemulihan tanah terbiar, kerajaan negeri menggerakkan kerja-kerja awalan tanah seperti pembersihan kawasan, pembajakan, pengapuran dan penyediaan kawasan tanaman.

Katanya, infrastruktur ladang seperti jalan ladang, perparitan, sistem pengairan dan stor penyimpanan juga termasuk dalam justifikasi peruntukan disediakan.

"Input ladang seperti baja dan racun bagi permulaan projek tanaman juga disediakan untuk memastikan projek tersebut berjaya. Pembangunan dan insentif yang disediakan bergantung kepada jumlah peruntukan yang diterima," katanya.

Razman memberitahu, projek berkenaan banyak diusahakan oleh usahawan muda yang semakin aktif membuka beberapa kawasan lain dengan tanaman sama selepas kejayaan memulihkan dan membangunkan kawasan yang pada awalnya terbiar.

"Projek tanah terbiar yang berjaya dan boleh dijadikan contoh adalah di Kampung Teluk Batu dan Kampung Bukit Nangka di Lenggong Daerah Hulu Perak dengan tanaman padi," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bancian pada tahun 2020 menunjukkan, daripada jumlah keluasan tanah terbiar yang telah dibangunkan, 275.06 hektar masih aktif bertanam, sama ada dengan tanaman asal atau telah bertukar kepada tanaman makanan yang lain.

Katanya, baki daripada jumlah tersebut sudah tidak aktif dengan pelbagai masalah seperti serangan penyakit, tamat tempoh sewaan, tukar tanaman kepada kelapa sawit dan lain-lain.

"Daripada bancian tersebut juga menunjukkan tanaman jangka panjang seperti buah-buahan dan padi masih aktif sehingga hari ini," katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian menerusi laporan muka hadapan mendedahkan, terdapat kira-kira 103,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara.

Pakar pertanian menggesa kerajaan memajukan tanah-tanah tersebut sebagai satu usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan negara.