Sindiket edar dadah guna khidmat kurier tumpas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUCHING - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier di bandar raya Miri selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam operasi khas yang berakhir pada Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Miri selama dua hari itu merampas kira-kira enam kilogram dadah jenis syabu, selain pil dan jus khayal bernilai RM219,885.

"Tangkapan pertama seorang lelaki berusia 37 tahun dilakukan di hadapan sebuah premis syarikat perkhidmatan kurier pada lebih kurang 4.30 petang 18 Mei.

"Satu bungkusan kotak barangan elektrik bersama tiga kilogram dadah syabu bernilai RM108,000 telah dirampas daripada lelaki tersebut,” katanya.

Susulan kejayaan itu, polis berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 17 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan Permyjaya di Miri kira-kira jam 4.50 petang, sebelum seorang wanita berumur 22 tahun ditahan 10 minit kemudian di kawasan sama.

Tangkapan berkenaan telah membawa kepada penemuan dua paket jus ekstasi bernilai RM1,500, sebanyak 130 biji pil Erimin 5 bernilai RM1,950 dan 29 biji pil ekstasi bernilai RM435 di sebuah rumah kedai di Jalan Miri Airport.

Kira-kira jam 10.30 pagi pada Jumaat, pasukan operasi itu berjaya memintas cubaan membawa masuk kira-kira tiga kilogram dadah jenis syabu di premis sebuah syarikat perkhidmatan kurier di bandar raya itu.

Menurut Mohd Azman, semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dengan dua daripada mereka didapati positif dadah.

Polis turut menyita dua buah kereta dianggarkan bernilai RM50,000 dipercayai digunakan sindiket itu dan kesemua suspek ditahan reman lima dan tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas dengan menerima bekalan dari ahli kumpulan sama di Semenanjung Malaysia menerusi perkhidmatan kurier.

"Dadah yang dikirim ke Miri dibungkus bersama barangan lain bagi mengaburi syarikat kurier atau pihak berkuasa (sebelum) diedarkan kepada tokan-tokan di daerah Miri mengikut permintaan,” katanya. - Bernama