Lebih 1,000 hadir Majlis Aidilfitri UMNO Terengganu bersama PM

Ismail Sabri (tengah) yang juga Naib Presiden UMNO melambai tangan semasa hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Empat Peringkat Negeri Terengganu di sebuah resort di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) yang juga Naib Presiden UMNO melambai tangan semasa hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Empat Peringkat Negeri Terengganu di sebuah resort di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih 1,000 tetamu hadir meraikan Majlis Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Terengganu Equestrian Resort di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri yang tiba pada jam 3.45 petang, meluangkan masa hampir dua jam pada majlis itu dan menikmati pelbagai juadah hari raya antaranya ketupat, rendang, nasi minyak serta kuih muih.

Ketika ditemui pemberita sebelum meninggalkan majlis, beliau berkata, suasana hari ini dilihat meriah serta mesra dan menggambarkan perpaduan yang kukuh dalam UMNO Terengganu.

"Saya menghadiri jamuan hari raya ini atas jemputan UMNO Terengganu... hari ini cuma beramah mesra dengan kepimpinan UMNO negeri. Saya ucapkan terima kasih kepada badan perhubungan UMNO negeri kerana menjemput saya," katanya.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said serta barisan kepimpinan UMNO negeri empat peringkat termasuk bahagian-bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Para tetamu dan jemputan turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya dan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra serta bergambar dengan pemimpin negara itu. - Bernama