Kes rasuah Zahid: Catatan KJ, bomoh direkod dalam buku faraid UKSB

Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu bahawa catatan 'KJ', dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku 'faraid' Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun memaklumkan perkara itu semasa pemeriksaan balas peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika dirujuk buku faraid tersebut.

Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh syarikat itu kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah Harry Lee boleh mengesahkan bahawa 'KJ; yang dinyatakan di dalam lejar tersebut adalah Khairy Jamaluddin, saksi itu menjawab, "Itu saya tidak pasti.”

Ahmad Zaidi: "Saya rasa anda kenal Wan Quoris (Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani) yang pernah bekerja dengan KJ sebelum ini?”

Harry Lee: "Saya tidak begitu pasti beliau bekerja dengan KJ sebelum ini. Tetapi saya tahu beliau (Wan Quoris Shah) kata beliau sangat mengenali KJ.”

Dalam prosiding sebelum ini, Harry Lee dalam pernyataan saksinya berkata bahawa beliau membawa masuk Wan Quoris Shah sebagai pengarah dalam UKSB pada Mei 2013 kerana lelaki itu adalah ahli UMNO dan syarikatnya memerlukan kelebihan individu tersebut bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan Ahmad Zahid yang ketika itu Menteri Dalam Negeri.

Saksi itu juga tidak dapat menjawab soalan Ahmad Zaidi ketika ditanya mengenai pembayaran kepada individu dicatat dengan perkataan 'bomoh' di dalam buku sama.

Selain catatan KJ dan bomoh, antara catatan lain yang tertera di dalam buku tersebut adalah KPU (ketua pengarah), FM (Menteri Luar), SUB (Setiausaha Bahagian) dan AK (Akbar Khan).

Saksi pendakwaan ke-15 itu juga bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa bayaran yang dibuat kepada menteri dan ahli politik yang dicatatkan dalam buku tersebut adalah sumbangan politik.

Harry Lee turut mengesahkan bahawa sumber kewangan yang dibayar kepada individu-individu di dalam buku faraid tersebut diperoleh daripada sub kontraktornya di Hong Kong (syarikat itu dilantik UKSB bagi menguruskan Sistem Visa Luar Negara (VLN) bagi pihak mereka) dan sumber dana tersebut tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun UKSB.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 30 Mei. - Bernama