Barang tiruan bernilai lebih RM1 juta dirampas

KPDNHEP merampas 43,929 produk tiruan bernilai RM1.07 juta dalam serbuan ke atas empat premis berasingan di sebuah pusat borong di Jalan Kenanga di sini 17 Mei lalu.
KPDNHEP merampas 43,929 produk tiruan bernilai RM1.07 juta dalam serbuan ke atas empat premis berasingan di sebuah pusat borong di Jalan Kenanga di sini 17 Mei lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 43,929 produk tiruan bernilai RM1.07 juta dalam serbuan ke atas empat premis berasingan di sebuah pusat borong di Jalan Kenanga di sini 17 Mei lalu.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan dijalankan susulan daripada hasil risikan selama dua minggu oleh pihaknya berikutan aduan daripada pemilik cap dagang jenama terbabit.

Menurutnya, pasukan serbuan menahan dua lelaki tempatan yang terdiri daripada pemilik kesemua premis terbabit dan pekerja di stor berkenaan.

"Pasukan serbuan telah menyita 43,929 unit barang-barang yang disyaki tiruan terdiri daripada beg, dompet, tali pinggang dan minyak wangi berjenama.

"Jumlah sitaan bagi keempat-empat premis ini dianggarkan bernilai RM1.07 juta kerana disyaki menggunakan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya pada sidang media di Stor KPDNHEP di Kompleks Sentral Segambut di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menjual menerusi platform dalam talian manakala jualan secara fizikal hanya dibenarkan kepada pelanggan tetap sahaja untuk mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Tambahnya, premis berkenaan beroperasi secara tidak menentu sejak tiga tahun lalu di mana pemilik premis akan menghentikan perniagaan buat sementara jika mengesyaki kegiatannya sedang dihidu pihak berkuasa.

"Premis ini dia sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu secara 'on-off'. Bila dia rasa pihak berkuasa sedang perhati dia tutup, kemudian beberapa lama kemudian dia buka balik," katanya.

Katanya, kos untuk sebuah beg tiruan terbabit dianggarkan sekitar RM30 dan dijual dengan harga bermula dari RM100 hingga ke RM400 bergantung kepada platform dan lokasi jualan manakala minyak wangi tiruan dijual hampir dengan harga produk asli untuk mengaburi pembeli.

Sementara itu, Ariffin berkata, pihaknya telah merampas 97,169 unit produk tiruan yang dianggarkan bernilai RM2.82 juta dalam Op Jeriji 3.0 di seluruh ibu negara sejak Januari hingga Jumaat.

"Jumlah tangkapan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2022 adalah seramai tiga belas orang melibatkan kesalahan berkaitan dengan harta intelek," ujarnya.