X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Persekutuan, negeri perlu ketepi perbezaan politik demi agama: Noh

Jurutera ICU Selangor, Mohd Nazarudin Masnan (kiri) menerangkan tentang projek pembinaan surau baharu kepada Noh (dua dari kiri) pada Majlis Pecah Tanah Projek Meroboh dan Membina Baru Bangunan Surau Nurul Zaman Taman Seri Bakti, Tanjong Karang pada Jumaat.
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan Persekutuan dan negeri diminta mengetepikan kepentingan politik masing-masing sebaliknya terus bekerjasama dalam beberapa perkara terutama demi kepentingan umat Islam.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, institusi agama perlu terus dipelihara dan bebas daripada politik.

Menurutnya, campur tangan politik dalam urusan hal ehwal agama hanya mendatangkan keburukan dan perpecahan yang merugikan perpaduan ummah.

"Saya sendiri selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang mengetepikan perbezaan politik terutama dari segi kepentingan agama, pendidikan dan membantu orang miskin.

"Janganlah kerana individu terbabit pengerusi surau dan bukan sealiran (fahaman) politik, kita tidak mahu terlibat dalam program yang dianjurkan.

"Begitu juga dengan program yang dianjurkan pihak sekolah, walaupun berbeza fahaman politik tetapi kita kena sokong kerana ia membabitkan pendidikan anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Projek Meroboh dan Membina Baru Bangunan Surau Nurul Zaman Taman Seri Bakti, Tanjong Karang pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, projek membina semula surau itu antara contoh kerjasama baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor.

Jelas beliau, projek membina semula surau itu menerima peruntukan kira-kira RM500,000 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Surau ini menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, namun setelah Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14 dan menjadi pembangkang akhirnya peruntukan ini dibatalkan.

"Bagaimanapun, apabila kita (BN) memerintah semula, projek ini diteruskan meskipun berdepan halangan dari segi status tanah memandangkan tapak sedia ada ini diwarta untuk tanah lapang," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, hasil muafakat dan kerjasama baik daripada agensi kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) segala permasalahan yang berlaku ditangani secara baik.

"Kita dapat duduk berbincang untuk menangani permasalahan yang berlaku dan dalam masa sama mengikut peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri," jelas beliau.

Ujar Noh, projek membina semula surau itu dijadualkan siap dalam tempoh 16 minggu iaitu pada September depan.

"Kerja-kerja telah dilaksanakan bermula semalam (Khamis) dan kita berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!