Konvoi #RasuahBusters diteruskan di Perak pada Ahad ini

Konvoi #RasuahBusters akan diteruskan di Perak bermula 22 hingga 24 Mei ini.
Konvoi #RasuahBusters akan diteruskan di Perak bermula 22 hingga 24 Mei ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Siri jelajah seluruh negara menerusi Konvoi #RasuahBusters dalam misi menyampaikan mesej kesedaran membangunkan #NilaiMoralKarakterbangsa akan diteruskan ke Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, konvoi tersebut akan dilaksanakan bermula 22 hingga 24 Mei ini.

“Alhamdulillah konvoi ini telah bergerak di lima buah negeri sebelum ini untuk menyampaikan kesedaran tentang tadbir urus yang baik dan integriti.

“Untuk itu, kita bukan sahaja melancarkan kempen kesedaran tetapi juga aktiviti lapangan dan Perak merupakan negeri selanjutnya kita akan bergerak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, bagaimanapun, konsep konvoi kali ini berbeza sedikit berbanding sebelum ini.

“Kita tidak akan ke seluruh negeri Perak, tetapi kita akan berjumpa dengan rakan-rakan gabungan Rasuah Bustes dan juga pihak pemegang taruh di sini.

“Ini bagi mewujudkan aktiviti lapangan agar Rasuah Busters terus bergema di negeri Perak secara aktif,” ujarnya.

Nurhayati
Nurhayati

Tambah beliau, perjalanan konvoi itu juga akan diisi dengan program Wacana dan Kafe Rasuah Busters.

“Jadi untuk perkembangan lanjut boleh rujuk media sosial Rasuah Busters menerusi Facebook, Instagram dan sebagainya.

“Kita juga harapkan dengan pertemuan Rasuah Busters dengan rakyat Perak, kita akan lebih memperluaskan lagi kempen penentangan terhadap budaya yang tidak sihat ini.

“Kita harap di semua peringkat ekosistem dapat bersama mengaktifkan butang integriti dalam diri kita untuk akauntabiliti dilaksanakan di peringkat keluarga, sekolah, komuniti dan secara khusus di Perak,” ujarnya,

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, jika sebelum ini, masyarakat bergantung kepada pihak berkuasa untuk mengembalikan dan melaksanakan kesedaran antirasuah, kali ini mereka sendiri yang mengambilkan peranan untuk selamatkan negara dengan usaha secara bersama-sama.

“Jadi kita harap kerjasama dan peranan semua pihak sebagai sebuah negara demokrasi, ini akan membawa pemulihan secara peringkat bermula daripada kita, rakyat Malaysia sendiri.

“Saya juga berharap apabila konvoi ini tiba di Perak nanti kita dapat sokongan juga daripada rakyat sana untuk bersama-sama membanteras rasuah yang merupakan budaya yang langsung tidak wajar diterima dalam negara,” jelasnya.