Maloney tetap bangga persembahan Harimau Malaya

Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney nyata berbangga dengan semangat juang yang ditampilkan para pemainnya meskipun tewas 0-1 kepada tuan rumah, Vietnam pada aksi separuh akhir Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Viet Tri pada Khamis.

Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, walaupun pasukannya terpaksa berhadapan beberapa kesukaran sebelum perlawanan bermula termasuklah tempoh rehat yang kurang mencukupi, namun pemain masih bermain dengan baik sehingga mampu mengheret Vietnam untuk bermain sehingga masa tambahan.

“Vietnam merupakan sebuah pasukan mempunyai strategi dan juga fizikal yang baik selain merupakan pasukan terkuat pada edisi kali ini. Bagaimanapun pemain-pemain tidak sedikitpun tidak tunduk kepada tekanan dan berputus asa.

“Saya sangat bangga dengan persembahan yang ditampilkan oleh pemain saya. Mereka telah mencuba yang terbaik ketika aksi 90 minit dan 30 minit masa tambahan.

“Temasya Sukan SEA telah memberi kami banyak peluang untuk berdepan dengan pasukan yang lebih kuat. Ini membantu pemain muda untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pda perlawanan tersebut, jaringan tunggal Nguyen Tien Linh pada minit ke-110 sudah cukup untuk membawa Vietnam ke perlawanan akhir sekali gus meneruskan usaha mereka untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya edisi 2019.

Dalam masa sama, Maloney turut mengakui ketiadaan tonggak utama pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sedikit selain beberapa siri kecederaan yang dialami pemain negara pada aksi itu merencatkan perancangan pada perlawanan itu.

“Harith adalah pemimpin dan dia menguruskan barisan pertahanannya dengan baik. Walau bagaimanapun corak permainan keras yang ditampilkan lawan menyebabkan beberapa pemain kami tercedera termasuklah penjaga gol.

“Ia bukanlah situasi yang bagus untuk kami apabila banyak pemain mengalami kecederaan, namun pemain-pemain yang menggantikan mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik," ujarnya.