Beli tong simpan air

 Asmadi (kiri) membantu Bechik menadah air bersih di dalam tong di rumahnya di Kampung Parit Makuaseng.
Asmadi (kiri) membantu Bechik menadah air bersih di dalam tong di rumahnya di Kampung Parit Makuaseng.
A
A
A

PONTIAN - Penduduk di Mukim Benut, Mukim Sungai Pinggan dan sebahagiannya di Mukim Ayer Baloi sudah bersiap sedia menghadapi catuan bekalan air yang dijangka bermula esok.

Biarpun pertama kali berdepan dengan catuan air namun tinjauan dilakukan di Kampung Parit Makuaseng mendapati penduduk sudah bersiap sedia menyimpan bekalan air bersih di dalam tong.

Penduduk, Bechik Dalik, 67, berkata, bilangan ahli keluarga yang tidak ramai di rumahnya memberi sedikit kelegaan namun dia tetap bimbang seandainya catuan berlaku dalam tempoh masa yang agak panjang.

Menurutnya, dia hanya menyimpan air bagi tujuan memasak dan mencuci memandangkan rumahnya dilengkapi dengan tangki air.

“Anak, Norliyah Arshad, 39, kini sedang berpantang di rumah, itu yang merisaukan jika tiada air. Semuanya gunakan air, nak mandikan bayi, cuci baju dan macam-macam lagi.

“Jadi, simpanan air bersih yang banyak diperlukan. Saya sudah letakkan tong-tong air di setiap bilik air,” katanya.

Bechik berkata, selepas mendapat makluman tentang kemungkinan berlakunya catuan bekalan air, ramai penduduk kampung yang mula mencari tong bagi menyimpan bekalan air.

Katanya, ketiadaan sumber bekalan air alternatif seperti perigi menyebabkan penduduk berusaha sedaya-upaya untuk menyimpan bekalan air bersih di rumah mereka.

Artikel Berkaitan:

“Tali air dan parit memang cukup besar tetapi airnya tidak boleh digunakan kerana bercampur dengan air masin dari laut,” katanya.

Peniaga makanan, Ali Yahya, 56, berkata, perniagaannya tetap akan dibuka seperti biasa meskipun berlaku gangguan air.

Katanya, dia sudah membuat persiapan dengan membeli banyak bekas simpanan air selepas mendapat tahu tentang bekalan air berjadual.

“Maklumat tentang catuan bekalan air sudah diberitahu awal. Jika maklumat diberikan dalam tempoh singkat mungkin ia mendatangkan masalah kepada orang ramai.

“Diharapkan catuan air tidak berlarutan, jika berlaku dalam tempoh masa agak panjang bekalan air bersih perlu dihantar kepada penduduk menggunakan lori tangki air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 1 Parit Makuaseng, Asmadi Bachok@Mohd Nawai berkata, bekalan air bersih kepada penduduk yang dihentikan sejak kelmarin akibat pencemaran ammonia sudah disambung semula.

“Penduduk sudah dimaklumkan lebih awal tentang kemungkinan berlakunya catuan air akibat paras air yang minimum di Empangan Machap.

“Mereka memahami situasi itu memandangkan sekarang cuaca agak panas. Tong-tong air telah disediakan penduduk untuk menyimpan air sebagai langkah awal seandainya berlaku catuan air,” katanya.

Kira-kira 10,000 penduduk di Mukim Sungai Pinggan, Mukim Benut dan sebahagiannya di Mukim Ayer Baloi dijangka terlibat dengan penjadualan bekalan air bermula 28 Mac berikutan paras air Empangan Machap berada pada tahap minimum.