X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Malaysia terdedah risiko penurunan dalam masa terdekat

Menurut S&P Global Market Intelligence, sektor eksport negara 'mudah terjejas' daripada impak kelembapan ekonomi China. - Foto 123RF
A
A

WALAUPUN pertumbuhan ekonomi meningkat pada suku pertama 2022, Malaysia terdedah dengan beberapa risiko penurunan dalam masa terdekat, terutamanya berikutan China menjadi pasaran eksport terbesarnya dengan menyumbang 15 peratus daripada jumlah eksport.

Menurut S&P Global Market Intelligence, sektor eksport negara 'mudah terjejas' daripada impak kelembapan ekonomi China.

"Malaysia turut berdepan kesan penghantaran daripada perang Rusia-Ukraine. Walaupun eksport langsung ke Rusia amat rendah, keadaan mudah terjejas yang lebih ketara adalah daripada kejutan ekonomi negatif perang Rusia-Ukraine terhadap ekonomi Eropah Barat, memandangkan Kesatuan Eropah menyumbang 8.4 peratus daripada eksport barang niaga Malaysia.

"Bagaimanapun, harga minyak dan gas dunia yang lebih tinggi berikutan perang Rusia-Ukraine turut merangsang eksport tenaga Malaysia dan menyumbang perolehan fiskal yang lebih tinggi. Malaysia turut mendapat manfaat daripada harga minyak sawit yang lebih tinggi akibat gangguan di pasaran minyak makan dunia, termasuk eksport minyak bunga matahari Ukraine,” menurut Ketua Ahli Ekonomi S&P Global Asia-Pacific Rajiv Biswas dalam nota pada Jumaat.

Rajiv berkata, Malaysia turut mendapat manfaat daripada industri eksport elektrik dan elektronik yang besar berikutan permintaan kukuh terhadap kelengkapan elektronik.

"Impak pandemik Covid-19 telah mempercepatkan kadar transformasi digital melalui peralihan global untuk bekerja secara jauh, merangsang permintaan terhadap peranti elektronik seperti komputer, mesin pencetak dan telefon mudah alih," katanya.

Selain itu, sekatan pergerakan yang telah dilonggarkan di banyak negara turut mencetuskan peningkatan perbelanjaan pengguna, sekali gus membantu menggalakkan permintaan untuk pelbagai elektronik pengguna.

"Prospek ekonomi jangka sederhana turut menyokong industri elektronik Malaysia. Prospek bagi permintaan elektronik menerima dorongan daripada kemajuan teknologi utama, termasuk pelancaran 5G dalam tempoh lima tahun akan datang, yang akan memacu permintaan terhadap telefon mudah alih 5G.

"Permintaan terhadap elektronik perindustrian dijangka turut berkembang pesat dalam jangka sederhana, disokong oleh Revolusi Perindustrian 4.0 berikutan automasi perindustrian dan Internet Pelbagai Benda yang meningkatkan pertumbuhan pantas bagi permintaan ke atas elektronik perindustrian,” kata Rajiv.

Beliau berkata, daya saing Malaysia sebagai hab elektronik global telah terserlah berikutan keputusan Intel untuk melabur sebanyak AS$7 bilion terhadap loji pembungkusan semikonduktor baharu di Pulau Pinang, yang dijangka siap menjelang 2024.

Ekonomi Malaysia terus mencatatkan pemulihan daripada impak pandemik Covid-19 yang berpanjangan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku pertama 2022 meningkat 5.0 peratus tahun ke tahun.

Kelonggaran membabitkan sekatan Covid-19 pada awal 2022 membantu menyokong pemulihan dalam penggunaan swasta, manakala permintaan luaran yang kukuh mendorong pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Walaupun harga komoditi dunia meningkat berikutan perang Rusia-Ukraine, tekanan inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia masih terkawal dengan bacaan IHP Mac menokok 2.2 peratus tahun ke tahun, manakala inflasi IHP teras naik 2.0 peratus tahun ke tahun. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!