Statut Rom: Niat PH baik tapi gopoh

Gambar hiasan
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan kerajaan PH untuk menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) disifatkan gopoh apabila tidak merundingi rakyat, institusi diraja dan Parlimen.

Ahli Parlimennya, Hassan Abdul Karim berkata meskipun niat itu baik namun kerajaan sepatutnya menyedari Malaysia sebuah negara berparlimen.

"Rakyat dan Parlimen perlu dirundingi. Malaysia juga negara raja berperlembagaan. Institusi raja-raja perlu dihormati dan juga dibawa berunding sebelum sesuatu undang-undang antarabangsa yang mengikat kerajaan negara ini ingin ditandatangani.

"Biar proses menandatangani itu lambat, asalkan negara ini selamat. Apa yang hendak dikejar sangat? Tergesa-gesa nampak gopoh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan keputusan kerajaan mahu menyertai Statut Rom dibuat selepas yakin bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas.

Mengulas lanjut, menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang ini Statut Rom mempunyai manfaat dari segi kepentingan manusia sejagat.

"Jika Malaysia ingin bersuara dan bertindak aktif dalam menentang pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan maka adalah wajar Malaysia menandatangani Statut Rom.

"Malaysia tiada locus standi atau hak menuntut ICC bertindak contohnyavke atas pihak-pihak yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, Bosnia dan Rohingya sekiranya tidak menandatangani Statut Rom," katanya.

Namun katanya, Statut Rom tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan negara selain tidak mengancam kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Islam.

Malah ia juga tidak mengancam institusi raja-raja di negara ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia