[VIDEO] DAP tidak pernah bincang isu 'khemah besar'

Anthony (kiri) ketika melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah), pada Jumaat.
Anthony (kiri) ketika melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah), pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - DAP tidak pernah berbincang mengenai cadangan kerjasama di bawah 'khemah besar' untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP ketika ini hanya memberi fokus untuk memperkukuhkan kerjasama di dalam Pakatan Harapan (PH).

"Setakat ini tiada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak di luar PH termasuk soal strategi pembahagian kerusi.

"Penting bagi PH adalah untuk mengukuhkan kekuatan dan kedudukan. Apa sahaja kekuatan yang ada perlu diperkukuhkan seperti di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya dalam sidang akhbar di Komtar sempena kunjungan hormat pertama kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu.

Hadir sama, Setiausaha Organisasi, Steven Sim Chee Keong.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pimpinan parti pihak pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan 'khemah besar' sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Menurutnya, kesepakatan barisan pembangkang cukup penting bagi PRU15 kelak dengan hanya satu musuh utama iaitu Barisan Nasional ( BN).

"Perlu ada kesabaran dan semangat sebab masih ada lagi masa untuk merealisasikan 'khemah besar'. Walaupun sebelum ini ketika Pilihan Raya Negeri ( PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, tidak boleh capai 100 peratus, tetapi itu tidak bermakna tidak laksanakan 'khemah besar'," katanya lagi.

Sementara itu, Anthony berkata, beliau mengakui DAP tidak boleh terlalu yakin dan selesa untuk mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang sebaliknya DAP perlu terus berusaha termasuk mencari bakat baru untuk dikemukakan sebagai calon pada PRU15.

“Kami tidak bincang soal kemenangan majoriti. Paling penting adalah kami dapat mengekalkan kemenangan dengan jumlah yang selesa," katanya.