Ekspo Dubai: Selangor rekod pelaburan berpotensi RM960.7 juta

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor berjaya merekodkan nilai pelaburan berpotensi sebanyak RM960.7 juta sepanjang promosi Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia pada 6 hingga 12 Mac lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ekspo berkenaan turut meraih 158 padanan perniagaan dan 92 potensi kerjasama perniagaan dalam pelbagai sektor.

“Pencapaian ini sekali gus mencerminkan keyakinan dunia perniagaan terhadap negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di Twitternya pada Jumaat.

Pada 6 hingga 12 Mac lalu, Minggu Selangor yang berlangsung di Pavilion Malaysia pada minggu ke-23 Ekspo 2020 Dubai menjadi platform terbaik buat kerajaan Selangor mempamerkan kelebihan serta kekuatan untuk menarik pelaburan ke dalam negara.

Sebanyak 17 syarikat mempromosikan lima kluster industri, iaitu elektrik dan elektronik, sains hayat (bioteknologi), pengangkutan dan peralatan (aeroangkasa) mesin dan peralatan serta makanan dan minuman.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim turut menyifatkan ekspo tersebut merupakan peluang terbaik untuk menonjolkan negeri Selangor di mata dunia.

“Jika Dubai dianggap sebagai permata Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selangor pula adalah ‘negeri emas’ untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada perasmian Selangor Week di Ekspo 2020 Dubai Mac lalu.