X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Blueprint Perumahan 3.0 tambah baik kebajikan veteran ATM

Hishammuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Pra-Pelancaran Blueprint (Rangka Tindakan) Perumahan 3.0 pada Jumaat adalah untuk menambah baik agenda perumahan demi kepentingan kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keluarga mereka.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, blueprint itu dibina berlandaskan tiga objektif utama iaitu pembinaan, penyelenggaraan dan pemilikan.

"Ia merupakan kesinambungan daripada Blueprint Perumahan 1.0 yang saya sendiri cadangkan dan perkenalkan pada 2017 serta Blueprint Perumahan 2.0 yang diperkenalkan pada 2019.

"Anggota dan veteran ATM serta keluarga mereka dapat mendiami kediaman yang selesa dan kondusif serta terdapat empat program utama akan dilaksanakan di bawah Blueprint Perumahan 3.0,” katanya pada sidang akhbar prapelancaran blueprint itu di sini.

Hishammuddin memberitahu, di bawah blueprint itu, sebanyak 12,733 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) akan dibina di bawah lima fasa bermula pada 2023 hingga 2030.

Beliau berkata, lebih banyak RKMAT juga akan dinaik taraf daripada dua rumah menjadi satu rumah hingga 2030.

"Ini tidak termasuk 434 RKMAT yang telah siap diubah suai daripada dua kepada satu unit pada 2020 dan 2021 malah perabot-perabot lama juga akan digantikan dengan perabot baharu.

"Bukan itu sahaja, di bawah blueprint ini sebanyak 974 unit Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) akan dibina secara berperingkat di Kem Wardieburn, di sini manakala 6,400 unit lagi akan dibina secara berperingkat di Genting Klang pada 2027 hingga 2033, " katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, kementerian itu bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bekerjasama mewujudkan kuota khas yang akan dirundingkan untuk warga ATM dan veteran bagi setiap projek pembangunan rumah mampu milik yang dibangunkan KPKT di seluruh negara.

Turut hadir, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!