Pemilihan PKR: Proses pengundian fizikal di Selangor esok

Dari kiri: Gunaraj, Wei Kiat dan Mohd Khairuddin
Dari kiri: Gunaraj, Wei Kiat dan Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Dianggarkan 20,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bakal menjalankan pengundian bagi pemilihan parti secara fizikal pada Sabtu.

Sebanyak 22 pusat pemilihan di setiap cabang akan beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Calon Naib Presiden PKR, Gunaraj George berkata, besar harapannya agar semua anggota dapat turun menunaikan tanggungjawab kepada parti.

Menurutnya, undian perlu diberikan kepada calon yang boleh memimpin dan membantu pusat membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pemilihan ini bagi memperkukuh parti dan memilih pemimpin yang mantap.

"Semua pihak perlu memainkan peranan memastikan ahli berdisipilin dan memastikan proses pengundian dapat dijalankan secara baik, " katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagi Calon Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Chua Wei Kiat pula berkata, beliau turut berharap semua anggota boleh keluar mengundi bagi memilih calon terbaik demi masa depan parti.

"Esok adalah pengundian secara fizikal, bagaimanapun pengundian secara atas talian telah berlangsung sejak 18 Mei dan berakhir pada hari ini.

"Pemimpin yang dipilih penting bagi membawa hala tuju yang jelas dan dapat mengukuhkan parti," katanya yang turut bertanding sebagai Ketua AMK Selayang.

Sementara itu, calon Ketua Cabang Sungai Buloh, Mohd Khairuddin Othman menggesa, anggota memilih pemimpin yang benar-benar berkelayakan dan tidak dipengaruhi dengan politik wang.

"Tugas ahli adalah memilih pemimpin dan bukan membeli pemimpin.

"Pilihlah mereka yang boleh membawa perubahan untuk tiga tahun akan datang dan bukan dipengaruhi faktor sogokan atau ugutan," katanya.

Pada sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu juga meminta supaya penyokongnya menjalankan tugas dengan baik tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mencemarkan nama parti.