Kes pinda Laporan Audit 1MDB: Pendakwaan mahu Arul Kanda jadi saksi

Gopal Sri Ram. - Foto Sumber Internet
Gopal Sri Ram. - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memohon untuk memanggil Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi terhadap tertuduh bersamanya dalam kes itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua pasukan pendakwaan kes tersebut Datuk Seri Gopal Sri Ram membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen itu menyatakan bahawa dalam keadaan dua atau lebih orang didakwa melakukan kesalahan di bawah akta tersebut, mahkamah boleh atas permohonan bertulis Pendakwa Raya, mengkehendaki seorang atau lebih seorang daripada mereka memberikan keterangan sebagai saksi untuk pihak pendakwaan.

Sri Ram berkata, Arul Kanda, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, mungkin mempunyai maklumat berkaitan transaksi dengan Najib, yang akan menjejaskan keputusan pendakwaan terhadap bekas menteri kewangan itu.

"Beliau (Arul Kanda) mempunyai maklumat dalam simpanannya yang berkaitan dengan pertuduhan terhadap tertuduh lain (Najib) berhubung mesyuarat tertentu yang diadakan pada Februari 2016 dan peristiwa selepas pertemuan itu,” kata Sri Ram.

Semasa menjawab permohonan itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, walaupun permohonan itu telah dibuat secara rasmi kepada mahkamah, pihak pendakwaan perlu memenuhi keperluan undang-undang.

"Mereka boleh membuat permohonan ini. Terdapat peruntukan yang mengawal dan terdapat kes dan peruntukan yang akan menyokong (permohonan).

"Adalah menjadi budi bicara Yang Arif sepenuhnya, berpandukan undang-undang dan sebagainya. Mereka (pendakwaan) perlu memuaskan hati mahkamah sama ada ia (permohonan) tertakluk dalam Seksyen 63 akta SPRM.

"Ia satu permohonan yang luar biasa, malah, pada zaman moden, ia mungkin kali pertama. Saya melihat isu permohonan ini termasuk isu yang bersifat perlembagaan,” kata peguam itu.

Peguam Datuk N Sivananthan, yang mewakili Arul Kanda berkata beliau tidak akan membuat sebarang hujahan dan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

"Kedudukan anak guam saya konsisten sehingga ketika dipanggil untuk siasatan kes. Terdapat prerogatif pendakwaan jika mereka mahu membuat permohonan itu,” kata Sivananthan dan menjelaskan bahawa pihak pendakwaan telah menyatakan dalam pernyataan pembukaannya pada awal perbicaraan mengenai hasratnya untuk memanggil anak guamnya untuk memberi keterangan.

Dalam pernyataan pembukaan pendakwaan bertarikh 18 Oktober 2019, Sri Ram berkata, beliau bertanggungjawab memaklumkan mahkamah bahawa pada peringkat yang sesuai, pendakwa raya akan memohon secara bertulis di bawah Seksyen 63 Akta SPRM untuk memanggil tertuduh (Arul Kanda) untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.

Selepas mendengar hujahan lisan, Mohamed Zaini mengarahkan kesemua pihak supaya mengemukakan hujahan bertulis mereka dan menetapkan 30 Mei untuk mendengar permohonan itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama