Zulfahmi fokus pembangunan belia

Mohamad Zulfahmi bersama barisan pemenang Fun Race Motocross Air Hitam.
Mohamad Zulfahmi bersama barisan pemenang Fun Race Motocross Air Hitam.
A
A
A

JEMPOL - Memikul tanggungjawab dalam Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Raja Alias (Negeri Sembilan) bukannya mudah, tambahan pula tugas memastikan golongan belia khasnya di tanah rancangan Felda bijak memilih peluang yang ada.

Mohamad Zulfahmi Hamdan, 26, yang merupakan Timbalan Pengerusi MBFM Wilayah Raja Alias, ingin fokus dalam pembangunan belia dari segi penglibatan sosial setempat dan ekonomi.

"Dengan keadaan sekarang dilihat ke arah negara maju. Struktur utama bagi belia adalah peluang pekerjaan dan ekonomi menampung kehidupan zaman ini.

"Belia perlu bijak rebut peluang yang ada terutama usaha kerajaan membantu golongan golongan ini menerusi agensi berkaitan contoh keusahawanan, kemahiran sekali gus membentuk belia berwawasan dan berdaya maju," katanya.

Mohamad Zulfahmi berkata, bagaimanapun beliau mengakui tidak mudah untuk mencapai usaha tersebut sekiranya tiada sokongan.

"Adakalanya mentaliti seseorang itu sering memandang rendah akan usaha ini. Kita tidak mahu belia terus diselubungi perasaan dan tanggapan seumpama ini kerana ia tidak akan ke mana.

"Jadi besar harapan saya agar belia perlu aktif dalam penglibatan berpersatuan belia ini kerana input dalam belia sangat baik khususnya dalam membangunkan modal insan, semangat setia kawan dan dilatih untuk menjadi seorang belia yang berguna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zulfahmi (kanan) ketika bersama lawatan Exco Persatuan Usahawan Agro di Bagan Datuk, Perak.
Mohamad Zulfahmi (kanan) ketika bersama lawatan Exco Persatuan Usahawan Agro di Bagan Datuk, Perak.

Ketika ditanya mengenai harapannya dalam kerajaan hari ini, katanya, beliau mahu kerajaan meneruskan usaha dalam apa jua pembangunan dan ekonomi untuk belia bergerak dan menjalankan tanggungjawab dalam pembangunan belia ini.

"Kerajaan melalui kepimpinannya haruslah turun mendekati anak muda dan ambil pandangan dan rencana apa yang belia mahukan.

"Bukan hanya menggunakan orang tengah sebagai pengantara, tetapi hakikatnya belia tidak dipandang dan diendahkan.

"Justeru, kerajaan harus peka dengan permasalahan belia di akar umbi yang kalau di lihat belia luar bandar kurang dapat perhatian dari kerajaan dari segi pembangunan dan ekonomi serta peluang pekerjaan," katanya.

Sedia terima teguran

Mohamad Zulfahmi berkata, pihaknya bersedia menerima teguran dan pandangan membina agar MBFM Wilayah Raja Alias menjadi persatuan belia dicontohi.

"Kita mempunyai ahli belia yang ramai dan saya yakin buah fikiran mereka sangat berguna kerana ada dalam kalangannya merupakan orang yang berjaya.

"Kita bukan sahaja mahu penglibatan belia dalam sukan semata-mata, sebaliknya cemerlang dalam semua perkara.

"Di Felda, kita merupakan generasi muda yang bakal memimpin tanah rancangan Felda, maka persediaan ke arah tersebut perlu bermula daripada sekarang dan yang penting tanggungjawab terhadap melaksanakan tugas sebaiknya," katanya.