Negara bakal kerugian jika rintihan guru diabaikan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Negara bakal mengalami kerugian sumber tenaga pendidik berpengalaman sekiranya rintihan guru terhadap masalah bebanan kerja yang dihadapi mereka tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Menerusi teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini, trend guru mengambil keputusan bersara awal bukan disebabkan faktor kesihatan tetapi kerana tidak berupaya menghadapi tekanan persekitaran tempat kerja tidak kondusif adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

“Menurut statistik, daripada 409,977 guru di negara ini, lebih kurang satu peratus atau 4,000 orang mengambil keputusan bersara awal kerana telah hilang minat dan kegembiraan bekerja.

“Dilaporkan mereka terlalu dilonggokkan dengan beban kerja sampingan dan perkeranian yang membebankan malah mengganggu tugas hakiki sebagai pendidik.

“Ramai dalam kalangan guru merasakan rintihan dan suara mereka tidak diberikan perhatian, khidmat bakti dan pengorbanan mereka tidak diberikan pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya,” jelas teks khutbah berkenaan.

Sehubungan itu, khutbah tersebut memberikan peringatan kedudukan guru yang diiktiraf sebagai pekerjaan sangat mulia oleh agama Islam.

Menurutnya, guru bukan sahaja membantu membimbing insan dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran untuk tugas-tugas duniawi tetapi turut membekalkan ilmu dan membimbing amal untuk bekalan di alam barzakh dan akhirat.

“Khidmat bakti para guru hendaklah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh negara, masyarakat, ibu bapa dan para murid.

"Hargailah guru-guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita.

“Sempena sambutan Hari Guru, tunjukkan adab berterima kasih ibu bapa dan seorang murid dengan menyampaikan ucapan penghargaan kepada guru-guru diiringi sepiring kuih, segenggam beras, setahil gula, sehelai pelekat atau sehelai selendang,” menurut khutbah tersebut.

Khutbah Jumaat itu turut menasihatkan umat Islam agar melakukan amalan harian dengan menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah bagi mendoakan kesejahteraan guru baik kepada yang masih hidup dan lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah kembali ke rahmatullah.