PBT Selangor, agensi kerajaan jayakan misi bantuan banjir di Kerling

Kakitangan MPS turun di Kerling membantu kerja pembersihan di rumah penduduk terlibat.
Kakitangan MPS turun di Kerling membantu kerja pembersihan di rumah penduduk terlibat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menghargai penglibatan 340 anggota sukarelawan yang membantu menjayakan misi bantuan mangsa banjir di Kerling di sini, pada Khamis.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, operasi pembersihan masih diteruskan di beberapa kawasan terjejas terutamanya di Kampung Jawa.

Menurutnya, MPHS menerima bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor serta agensi kerajaan lain.

"Antara agensi yang terlibat adalah Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

"Turut serta Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, KDEB Waste Management, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Jelasnya, sukarelawan dipecahkan kepada empat zon bagi pembersihan bangunan awam, perumahan, jalan utama, surau, balai raya dan padang futsal.

"Alhamdulillah, hampir 99 peratus kerja-kerja pembersihan berjaya dilaksanakan.

"Terima kasih atas sumbangan rakan-rakan PBT dan agensi kerajaan yang turun membantu sehingga kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan secara menyeluruh di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya.